Tuesday, September 16, 2008

Panduan Para Pemuda Bagi Keselamatan Pada Hari Pembalasan : Kalimah Pertama

‘Bismillah’ adalah punca segala kebaikan dan permulaan bagi setiap urusan yang berkepentingan. Oleh itu, kita juga memulakan dengannya.

Wahai jiwaku! Ketahuilah bahawa di samping kalimah baik yang penuh berkat ini adalah syiar Islam, ia juga adalah zikir yang dilakukan oleh segenap makhluk yang dilakukan melalui lisan halnya.[1]

Jika anda ingin mengetahui tentang sejauhmana kekuatan agung dan keberkatan luas tidak terhingga yang terdapat pada ‘bismillah’, maka dengarlah kisah pendek berikut:

Seseorang Arab Badwi yang berpindah randah ke sana ke mari di padang pasir, sudah pasti bernaung di bawah seorang ketua kabilah dan berada di bawah perlindungannya. Ini dilakukannya agar dia selamat daripada ancaman orang-orang jahat, serta dapat menyempurnakan segala pekerjaan dan memperoleh segala keperluannya. Jika ini tidak dilakukannya, maka dia akan berhadapan dengan musuh yang ramai sedangkan dia sentiasa tertekan untuk menyempurnakan segala keperluannya.

Demikianlah… Secara kebetulan terdapat dua orang lelaki melakukan perjalanan yang serupa. Salah seorang daripada mereka adalah seorang yang tawaduk, sedangkan seorang lagi adalah seorang yang sombong. Si tawaduk bernaung di bawah seorang ketua kabilah, sedangkan si sombong enggan untuk berbuat demikian. Kedua-duanya memulakan perjalanan di padang pasir… Setiap kali si tawaduk singgah di mana-mana perkhemahan, maka dia akan disambut dengan penuh penghormatan dan penghargaan kerana nama ketua kabilah yang dibawanya. Jika dia berjumpa dengan perompakpun dia berkata: “Aku berjalan di bawah perlindungan ketua si anu bin si anu…”, lalu si perompak beredar ketakutan. Sedangkan si sombong tadi menempoh pelbagai musibah dan kecelakaan yang tidak dapat dibayangkan kesengsaraannya. Sepanjang perjalanan, dia berada di dalam ketakutan dan kegerunan yang berterusan. Dia sebenarnya telah menghina dan merendahkan dirinya sendiri.

Wahai jiwaku yang sombong! Ketahuilah bahawa engkau adalah si badwi yang sedang berjalan itu. Dunia yang luas ini adalah padang pasir tersebut. Kefakiran (keberhajatan) dan kelemahan engkau tidak terbatas. Sebagaimana musuh engkau juga tidak berkesudahan. Oleh kerana inilah keadaannya, maka perbesarkanlah nama pemilik hakiki dan pemerintah abadi bagi padang pasir ini agar engkau terselamat daripada kehinaan meminta-minta di hadapan seluruh para makhluk, juga agar engkau terlepas daripada kehinaan ketakutan berhadapan dengan segala kejadian tidak diingini.

[1]Lisan hal ialah sesuatu yang dilihat melalui tindakan yang dilakukan oleh seseorang atau sesuatu. Sementara lisan maqal pula ialah sesuatu yang diperolehi melalui perkataan seseorang.

Ya! Kalimah baik iaitu ‘bismillah’ ini merupakan satu khazanah agung yang tidak binasa selama-lamanya. Kerana dengannya keberhajatan anda berhubung dengan suatu rahmat yang luas dan mutlak, lebih luas daripada seluruh makhluk. Kelemahan anda bergantung dengan qudrat agung yang menguasai segala kewujudan daripada sekecil zarah sehingga sebesar galaksi, sehingga kelemahan dan keberhajatan anda menjadi pemberi syafaat yang diterima di sisi tuhan yang maha berkuasa, maha penyayang dan mempunyai kebesaran.

Seseorang yang bergerak, diam, berpagi dan berpetang dengan kalimah ini (bismillah), adalah sama seperti seorang yang menjadi tentera. Dia melakukan segala perkara dengan nama negara. Dia tidak takut kepada seorang manusiapun, kerana dia berbicara di atas nama undang-undang dan nama negara. Dia melaksanakan segala tugas dengan tegas serta tenang dalam segala perkara.

Pada permulaan lagi kami telah menyebutkan bahawa segala makhluk yang wujud ini sentiasa berzikir dengan lisan hal masing-masing menyebut nama Allah. Ia berkata ‘bismillah’… Betulkah demikian?

Ya! Jika anda melihat seseorang individu menghalau kumpulan manusia yang ramai ke satu kawasan yang luas dengan memaksa mereka melakukan pelbagai jenis pekerjaan, maka anda tentu pasti dan yakin bahawa individu tersebut tidak melambangkan dirinya sendiri, tidak menggunakan namanya sendiri dan berdasarkan kekuatannya sendiri ketika dia menghalau kumpulan manusia tersebut, bahkan sebenarnya dia hanyalah seorang tentera yang bertindak di atas nama negara serta bersandarkan kepada kekuatan seorang pemerintah atau sultan.

Maka begitu juga dengan segala makhluk yang wujud ini. Mereka melaksanakan tugas mereka dengan nama Allah. Biji-biji benih yang amat seni memikul pokok-pokok yang amat besar dan berat dengan nama Allah. Iaitu setiap pokok berkata “bismillah” dan tangannya dipenuhi dengan buah-buahan daripada khazanah rahmat ilahi lalu mempersembahkannya kepada kita… Setiap kebun berkata “bismillah” lalu ia menjadi umpama dapur bagi kudrat ilahi yang memasak dan meranumkan pelbagai jenis makanan yang lazat… Setiap haiwan yang mempunyai manfaat dan keberkatan seperti unta, kambing dan lembu juga sentiasa berkata “bismillah” lalu ia menjadi sumber susu enak yang melimpah ruah. Ia memberikan rezeki yang paling lembut dan bersih kepada kita… Batang setiap pohon dan rumput juga sentiasa berkata “bismillah” lalu ia membelah dan menembusi batu batan yang keras dengan rerambutnya yang halus bak sutera dengan nama Allah yang maha pemurah. Dengan itu, setiap perkara yang sukar menjadi amat mudah sekali!

Dahan-dahan yang berceracak di udara serta buahan-buahan yang dipikulnya, begitu juga dengan akar-akar yang bersimpang siur di dalam batu batan yang keras, serta bahan-bahan makanan yang disimpannya di dalam kegelapan tanah, begitu juga ketahanan dedaun hijau menanggung kepanasan dan kehangatan pancaran matahari, malah terus kekal dalam keadaan lembut dan segar… Semua ini dan lain-lain perkara lagi menjadi satu tamparan hebat terhadap gologan materialis penyembah sebab dan musabbab. Ia juga adalah pekikan yang berdengung ke dalam telinga mereka. Pekikan ini berkata kepada mereka: Kekerasan (batu-batan) dan kepanasan yang kamu bangga-banggakan itu tidak berfungsi dengan sendiri. Bahkan ia hanya menjalankan tugasnya berdasarkan arahan seorang pemerintah yang menjadikan urat-urat yang halus dan lembut itu seperti tongkat Nabi Musa yang boleh membelah batu batan dan menurut perintah firman Allah swt (al-Baqarah, ayat 60):

فَقُلْنَا اضْرِبْ بِعَصَاكَ الْحَجَرَ

Maksudnya: “…maka Kami berfirman: “Pukullah batu itu dengan tongkatmu…”
Ia juga menjadikan daun-daun yang lembut dan segar itu seperti anggota-anggota badan Nabi Ibrahim yang ketika menghadapi tamparan kepanasan api ia membaca (al-Anbiya’, ayat 69):

يَا نَارُ كُونِي بَرْدًا وَسَلاَمًا عَلَى إِبْرَاهِيمَ

Maksudnya: “Hai api, jadilah engkau sejuk serta selamat sejahtera kepada Ibrahim!”

Oleh kerana setiap benda yang wujud sentiasa berkata “bismillah” atau sesuatu yang semakna dengannya, lalu ia memberi dan mempersembahkan nikmat Allah kepada kita dengan nama Allah, maka kita juga hendaklah sentiasa berkata “bismillah”. Ketika memberi kita hendaklah berkata “bismillah”. Begitu juga ketika mengambil kita hendaklah berkata “bismillah”. Kita juga hendaklah menolak pemberian yang dihulurkan oleh orang-orang yang lalai ketika mereka menghulurkan sesuatu kepada kita tanpa ‘bismillah’.

Satu soalan: Kita sentiasa memperlihatkan penghormatan dan penghargaan kepada sesiapa sahaja yang menjadi sebab kepada nikmat yang kita perolehi. Apakah agaknya pula yang dituntut oleh Allah yang menjadi tuan dan pemilik sebenar kepada segala nikmat tersebut?

Jawapan: Sesungguhnya tuhan pemberi nikmat yang sebenar itu menuntut daripada kita tiga perkara sebagai harga bayaran kepada nikmat-nikmat yang berharga itu:

Pertama: Zikir. Kedua: Syukur. Ketiga: Fikir.

Bismillah yang diucapkan pada permulaan penggunaan nikmat tersebut adalah zikir. Al-Hamdulillah yang disebutkan setelah sesuatu nikmat itu digunakan pula adalah syukur. Manakala fikir pula terletak di antara kedua-duanya. Iaitu pemerhatian yang dilakukan terhadap nikmat yang indah ini. Iaitu mengetahui bahawa ia adalah mukjizat qudrat Allah yang maha esa serta menjadi tempat pergantungan seluruh makhluk dan merupakan hadiah rahmatNya yang maha luas. Pemerhatian ini adalah fikir.

Jika seseorang yang mencium tapak kaki tentera tadi yang hanya menjadi khadam untuk menyampaikan hadiah seorang sultan telah melakukan satu kebodohan dan kedunguan yang memalukan… maka bagaimana pula dengan seseorang yang hanya memuji sebab-sebab fizikal yang nampaknya kelihatan membawa segala nikmat kepadanya, lalu dia menyayangi dan mengasihinya sahaja, bukan menyanyangi dan mengasihi pemberi nikmat yang hakiki… bukankah individu yang kedua ini telah melakukan satu kebodohan dan kedunguan yang lebih dahsyat ribuan kali ganda jika dibandingkan dengan individu yang pertama tadi?

Wahai jiwaku! Jika engkau tidak mahu menjadi seperti si bodoh dan si dungu di atas, maka berilah dengan nama Allah… ambillah dengan nama Allah… mulakan dengan nama Allah… beramallah dengan nama Allah.

Wassalam.

No comments: