Perhatian:
Dialog yang dikemukakan oleh Rasa’il al-Nur biasanya dibayangi dengan perasaan rahmat dan kasihan belas. Oleh itu, kaum wanita lebih kuat berpegang dengan Rasa’il al-Nur yang memang mempunyai keistimewaan yang lebih dengan memiliki sifat kasih sayang dan lemah lembut jika dibandingkan dengan kaum lelaki. Tetapi risalah ini ditujukan kepada kaum wanita yang mengikut jejak langkah wanita asing secara membabi buta. Oleh itu risalah ini kelihatan keras perbicaraannya. Ini dilakukan hanya untuk memberikan kesedaran kepada kaum wanita yang lalai. Oleh itu, saya berharap agar kekerasan perbicaraan risalah ini tidak mengejutkan saudari-saudari kita dalam iman yang memang bersifat penuh kasih sayang dan lemah lembut.
Difahami daripada beberapa buah hadis bahawa kaum wanita dan fitnah yang dibawakan mereka akan menyebabkan berlaku bahaya yang amat besar dan menakutkan di akhir zaman.
Ya, sebagaimana diberitakan oleh beberapa buah buku sejarah, bahawa pada kurun-kurun pertama dahulu, terdapat sekumpulan wanita yang terkenal sebagai orang yang berani memikul senjata. Mereka dikenali sebagai wanita Amazon sehingga dapat dibentuk satu kumpulan tentera daripada golongan mereka. Kumpulan tentera ini terlibat dalam beberapa peperangan yang sengit. Begitu juga pada zaman kita ini. Ketika kesesatan zandaqah (kekufuran) melakukan serangan terhadap Islam, terdapat satu kumpulan yang amat digeruni yang merupakan salah satu kumpulan yang memusuhi Islam yang menjalankan aktivitinya berdasarkan perancangan konspirasi yang ditetapkan oleh jiwa yang sentiasa menyeru ke arah kejahatan dan menyerahkan urusan kepimpinannya kepada syaitan. Kumpulan ini terdiri daripada sekumpulan wanita yang berpakaian tetapi bertelanjang, yang mendedahkan betis-betis mereka dan menjadikannya sebagai senjata keras yang tikamannya melukakan ahli iman! Mereka telah menutup pintu perkahwinan dan membuka pintu perzinaan. Tiba-tiba, mereka menawan banyak jiwa dan menusukkan tikaman yang menyebabkan luka yang amat parah pada hati dan ruh mereka dengan melakukan pelbagai perkara maksiat dan dosa besar. Bahkan beberapa jiwa telah berjaya dimatikan sama sekali hingga tidak terdaya untuk bangkit kembali.
Namun berlaku balasan yang adil kepada kaum wanita tersebut, kerana betis-betis mereka yang dijadikan senjata fitnah yang melukakan itu telah bertukar menjadi bahan api neraka jahannam dan merupakan benda pertama yang dibakar di dalam neraka, balasan akibat daripada mereka mendedahkannya hanya dalam tempoh beberapa tahun di hadapan orang yang tidak halal melihatnya semasa di dunia.
Di samping itu, mereka juga tidak memperolehi suami yang sesuai, bahkan mereka tidak berjaya memperolehinya meskipun mereka amat memerlukan kepada seorang suami sebagai menyahut panggilan fitrah dan penciptaan semulajadi mereka. Ini kerana mereka telah menyia-nyiakan kepercayaan dan kesetiaan semasa di dunia. Bahkan mereka menjadi terbuang, terhina, tidak dihiraukan dan tidak diambil peduli, kerana tiada orang yang sudi menikahi mereka dan mengambil berat tentang mereka, terutamanya pada zaman di mana hanya seorang lelaki sahaja yang menjadi penjaga kepada 40 orang wanita, sebagaimana dinyatakan di dalam hadis yang mulia.[1]
Inilah hakikatnya. Seseorang yang cantik pasti akan menyukai kecantikannya dan dengan segala daya dan upayanya berusaha untuk memelihara dan mengekalkannya serta tidak mahu ia disentuh oleh sebarang kecacatan. Kecantikan juga adalah nikmat yang dikurniakan, dan jika sesuatu nikmat disyukuri maka ia akan bertambah dan jika dikufuri ia akan hilang. Tidak syak lagi seseorang wanita yang memiliki kewarasan akan melarikan diri dengan segala kekuatan yang ada pada dirinya daripada membenarkan kecantikan dirinya menjadi wasilah untuk melakukan kesalahan dan dosa serta menyebabkan orang lain juga terjatuh ke lembah tersebut. Sudah pasti dia akan melarikan diri daripada menjadikan kecantikan dirinya bertukar kepada keburukan dan kehodohan yang membawa nahas dan dipenuhi racun. Tidak syak lagi dia pasti akan mengalami kekalahan jika dia menukar nikmat yang dikurniakan kepadanya itu menjadi paksi azab dan seksaan.
Oleh itu, sepatutnya seorang wanita yang cantik menggunakan kecantikannya menurut jalan yang dibenarkan syarak agar kecantikan yang fana’ itu akan berkekalan selama-lamanya, daripada hanya menjadi kecantikan yang tidak dapat bertahan lama kecuali beberapa tahun sahaja. Ketika itu, dia dianggap telah menunaikan kesyukuran yang sepatutnya terhadap nikmat tersebut. Jika ini tidak dilakukannya, maka dia akan meneguk berbagai-bagai kesakitan dan keazaban pada zaman tuanya. Dia akan menangis dan menyesali dirinya kerana tidak tahan melihat dirinya yang tidak dihirau oleh orang lain yang merasakan dirinya hanya membebankan mereka.
Tetapi jika kecantikan tersebut dihiasi dengan hiasan adab-adab al-Quran dan dijaga dengan selayaknya dalam paksi tarbiah Islam, maka kecantikan yang fana’ itu akan berkekalan dari sudut maknawi. Dia akan dikurniakan kecantikan yang lebih cantik, indah dan manis daripada kecantikan bidadari yang terdapat di dalam syurga yang kekal abadi sebagaimana dinyatakan di dalam sebuah hadis.[2]
Jika wanita tersebut mempunyai secebis akal, dia pasti tidak akan membiarkan hasil yang berkekalan dan menguntungkan ini terlepas daripada genggamannya.
[1]Daripada Anas, katanya: “Saya akan menceritakan kepada kamu satu hadis yang tidak akan diceritakan oleh orang lain selepasku. Saya mendengar Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: “Antara tanda-tanda kiamat ialah ilmu menjadi berkurang, zina berleluasa, wanita menjadi ramai, lelaki menjadi sedikit hingga hanya seorang lelaki sahaja menjadi penjaga kepada 50 orang wanita.” Diriwayatkan oleh al-Bukhari, kitab al-‘Ilm, bab ilmu diangkat dan kejahilan berleluasa.
[2]Terdapat banyak hadis dalam hal ini. Antaranya: Daripada Umm Salamah, isteri Nabi saw, katanya (di dalam sebuah hadis yang panjang): “Aku berkata: “Wahai Rasulullah! Adakah wanita di dunia lebih baik atau bidadari?” Baginda menjawab: “Wanita di dunia lebih baik daripada bidadari sebagaimana yang zahir lebih baik daripada yang batin.” Aku berkata: “Wahai Rasulullah! Bagaimanakah itu?” Baginda menjawab: “Dengan solat, puasa dan ibadat mereka kepada Allah, Allah akan memakaikan muka-muka mereka dengan cahaya dan jasad mereka dengan sutera yang berwarna putih, berpakaian hijau dan berperhiasan kuning… hingga akhir hadis… Diriwayatkan oleh al-Tabarani di dalam al-Kabir dan al-Awsat dengan lafaz di atas. (Dari kitab al-Targhib wa al-Tarhib, karangan al-Munziri, jil. 4, hlm. 537)
No comments:
Post a Comment