Wednesday, September 30, 2009

BAGI ENTRI TERKINI, SILA SKROL KE BAWAH. TERIMA KASIH.

Sunday, September 20, 2009

Sunday, April 5, 2009

Perkasakan Helwa

Wahai sahabat-sahabat seperjuangan.

Mulanya kita tidak saling mengenal. Kita mungkin dari lokaliti dan lokasi yang berlainan. Namun, apa yang pasti kini kita berada dalam jemaah yang sama. Bertahun-tahun lamanya kita berusrah dan bertamrin bersama-sama. Bertahun-tahun lamanya kita menyemai ukhuwwah. Malah ada ketikanya kita mengesampingkan tuntutan diri dan keluarga demi kelangsungan jemaah ini. Bukan untuk siapa. Bukan untuk apa. Semuanya demi mencapai keredhaan Ilahi. Bukan sekadar diri tapi ummah keseluruhannya. Agar sama-sama kembali kepada pencipta Rabbul -Izzati. Agar sama-sama mengamalkan cara hidup Islam.

Walaupin begitu, adat dunia. Kata pepatah lama, lagikan lidah boleh tergigit. Inikan pula kita manusia. Adakalanya kita terlupa. Kita punyai kelemahan namun yang pastinya kita juga ada kekuatan. Bukankah Allah mencipta setiap dari kita untuk lengkap-melengkapi.

Mungkin kita pernah berbeda pendapat tetapi bukankah kadangkala perbedaan buah fikiran itu satu rahmat. Alangkah tidak menariknya kalau hidup ini hanya ada satu warna. Putih sahaja. Atau Hitam Sahaja. Mungkin ia akan suram. Anggaplah perbezaan pendapat itu seumpama warna-warna pelangi yang hanya muncul selepas gerimis. Ia akan sirna bila terbit mentari.

Sahabat-sahabat ku,
Hari ini kita berdepan dengan pelbagai cabaran. Sebut sahaja. Semuanya melibatkan umat islam. Kita berdepan dengan masalah politik dan kepimpinan yang membimbangkan. Masalah ekonomi yang kian meruncing. Masalah kebejatan social yang tidak berkesudahan. Itu belum lagi masalah-masalah lain kesan dari permasalahan tersebut. Sebenarnya tugas dan amanah kita sebagai dae’i tidak pernah berkesudahan. Kita sebenarnya kuat seandainya kita bersatu. Itu yang kita uar-uarkan tetapi hakikatnya kita sendiri tahu. Kalaulah Sultan Abdul Hamid dulu begitu bersungguh-sungguh membuktikan yang merekalah insan terkuat yang disebut dalam salah satu hadith nabi dengan membuka kota Costantinople. Apakah kita pula hanya membenarkan tamsilan hadith Rasulullah bahawa umatnya pada akhir zaman nanti hanyalah seumpama buih-buih di pantai. Minta dijauhkanlah Ya Allah.

Mungkin kita terlupa. Entah bagaimana dan kenapa kita dipilh sebagai daei. Bersama-sama ditarbiah dan matang dalam madrasah ABIM. ABIM yang punya nilai sejarahnya yang tersendiri. ABIM yang mengalami zaman jatuh bangunnya. Namun, apa yang pasti, kita adalah sebahagian dari ABIM itu sendiri. Kita juga yang turut mencorakkan warna-warni pada jemaah ini.

Oleh, marilah kita perkukuhkan saf kepimpinan kita. Marilah kita berlapang dada. Kita buangkan yang keruh, kita ambil yang jernih. Kita lupakan masalah remeh-temeh kehidupan. Kita lupakan sengketa (kalau ada). Kita bersama gembleng tenaga seoptimum mungkin. Kita bersama membuktikan bahawa kitalah umat pilihan yang terbaik. Sematkan dalam dada, inilah sebahagian dari amal-jariah yang akan diperhitungkan bila kita bertemu denganNya nanti. Mudah-mudahan segala urusan kita dipermudahkan. Mudah-mudahan kita tidak duji dengan ujian yang tidak sanggup kita depani sebagaimana umat-umat terdahulu.

Akhir kata, maaf andai ada terkasar bahasa atau terkhilaf kata. Saya akhiri dengan serangkap pantun klasik yang saya pinjam dari Tunas Cipta Disember 2008.
Pucuk pauh delima batu,
Anak sembilang di tapak tangan,
Makan bersama anak kedidi;
Orang muda ideanya baharu,
Orang lama dilupa jangan,
Jadi sandaran akal dan budi.

Monday, March 30, 2009

Family Treasure Hunt

Sukacita Dimaklumkan bahawa Islamic Outreach ABIM akan mengadakan "Family Treasure Hunt" yang bertemakan "Appreciating the signs and creations of ALLAH SWT". Program ini dianjurkan secara bersama oleh Islamic outreach ABIM, Masjid Negara dan PERKIM.
Tarikh : 29th March 2009 (Ahad)
Tempat : Masjid Negara, Jalan Perdana, Kuala Lumpur
Masa : 7.30pagi
Sila datang awal untuk pendaftaran.
Penyertaan secara berkumpulan termasuk kanak-kanak.

Friday, March 27, 2009

Ziarah Hospital Tanjung Karang

26 Mac 2009, ABIM Kuala Selangor telah turut serta dalam misi Bulan Dakwah Ziarah Hospital. Ziarah yang bermula pada jam 9.00 pagi bermula dengan satu sesi taklimat yang dijalankan di Dewan Hospital TanjungKarang.

Ziarah ini dihadiri oleh OBD Datuk Penggawa,Pentadbir Agama Daerah Kuala Selangor serta Pengarah Hospital Tanjung Karang. Sukarelawan yang hadiradalah dari Sahabat Hospital Selangor diketuai oleh Puan Rahimah dan juga Sahabat Hospital Tanjung Karang yang baru ditubuhkan lebih kurang sebulan.

Wakil ABIM Kuala Selangor yang turut serta adalah KamarulAzami (Kam) dan Haji Adnan(waknan). Semua berjalan lancar dengan lawatan ke unit hemodylisis serta wad lelaki dan perempuan. Seramai 38 orang yang turut serta termasuk pegawai-pegawai hospital.

Semoga program sebegini diberikan pencerahan jalan dan dipermudahkan urusan moga-moga pesakit hospital juga dilimpahkan kesejahteraan dan kelapangan dari perasaan sakit dan takutkan kematian kerana mereka telah pun membuat persiapannya.

Terima kasih...
Kamarul Azami b. Mohd Zaini
Exco Pembangunan Sosial
ABIM Selangor
012-689 1738

Monday, March 23, 2009

Kem Kembara AL-Muqarrabin- Rapatkan ABIM dan Ummat


BANTING- Kem Kembara Al-Muqarabbin sempena Bulan Dakwah Negeri Selangor 1430H/2009M telah dijalankan pada 21-22 Mac 2009 di Kem Bina Taqwa , Bukit Changgang. ABIM Negeri Selangor telah diamanahkan untuk mengisi program ini dengan modul yang bersesuaian dengan belia remaja kini. Seramai 77 orang peserta daripada sekolah menengah seluruh Kuala Langat seperti SMK Bukit Changgang, SMK Bandar Banting, SMK Sijangkang Jaya, Maahad Mujahiddin, Maahad Ihya Al-Muhammadi dan banyak lagi.


Seramai 11 orang tenaga penggerak daripada ABIM yang diketuai oleh Sdr Khairudin bin Abas. Pen. Setiausaha ABIM Negeri Selangor merangkap YDP ABIM Kuala Langat dibantu oleh Sdr Radin Mohd Imaduddin, Exco Pendidikan dan Latihan ABIM Kuala Langat serta Sdr Mohd Hafiz Abd Bar sebagai Ketua Fasilitator. Seramai 8 Fasilitator daripada PEPIAS dan Unit Syabab ABIM Daerah Kuala Langat.


Program ini bertujuan untuk mendekatkan belia remaja dengan kehidupan yang lebih baik menurut landasan islam dan mendekatkan dirir kepada Allah Taala. Di samping menggilap potensi diri muslim di dalam diri remaja terlibat. Penyelaras program daripada JAIS, Ustaz Kamal Ariffin berharap kerjasama dengan NGO Islam terutama ABIM ini dapat diteruskan terutama dalam program yang akan datang. Program ini ditutup dengan rasminya oleh AF Ustaz Abd Rahman Hassani , Pegawai Tadbir Agama.

Usrah Bulanan WAP
















Shah Alam 22 Mac 2009 – Tiga generasi WADAH, ABIM dan PEPIAS secara bersama telah menganjurkan Usrah Gabungan dan berjaya mengumpulkan kehadiran seramai 50 peserta termasuk anak-anak ahli yang diadakan di Bilik Kuliah 12 Masjid Negeri. Usrah 3 generasi adalah kesinambungan sesi pertemuan , mesyuarat dan perbincangan antara ahli WADAH, ABIM Selangor dan PEPIAS. Pengisian usrah telah disampaikan oleh Dr Ahmad Zaki Abd Latif dari Wadah Selangor dan Ust Mohd Zawawi Ahmad Mughni YDP ABIM yang dipengerusikan oleh Pak Nik Yusuf.

Tajuk usrah yang dibawa berkisar dari Takbir Mimpi Raja dalam Surah Yusuf. Pembentang telah menyingkap beberapa peristiwa agung Kisah Nabi Yusuf bermula detik awal mimpi yang dianugerahkan oleh Allah waktu kecilnya hingga baginda menjadi penguasa di Mesir.

Perbincangan ini berjaya mengaitkan beberapa isu semasa yang berlaku di dunia umumnya dan juga di Malaysia amnya yang mempunyai kaitan erat dari sudut ekonomi dan politik semasa. Lebih-lebih lagi kegawatan ekonomi global dan politik semasa kini banyak mewarnaikan perbincangan di kalangan ahli usrah. Ayat-ayat di dalam surah Yusuf banyak mengajar umat bagaimana kaedah merancang ekonomi dari Al quran. Semoga pertemuan yang penuh hikmah ini dapat membuka banyak peluang bagi 3 generasi mengukuhkan semula hala tuju perjuangan ABIM khasnya dalam konteks isu-isu ummah di Selangor. Sokongan dan idea dari semua amat diharapkan agar program seumpama ini dapat disegarkan semula.

Terima kasih atas kehadiran yang penuh makna buat semua.