Wednesday, September 17, 2008

Bagaimana Menyelamatkan Akhirat

Suatu dialog yang berlaku dengan beberapa orang pemuda yang sentiasa bergelut dengan bujukan-bujukan hawa nafsu, namun kewarasan mereka masih belum hilang.)

Beberapa orang pemuda telah memohon agar Rasa’il al-Nur menghulurkan bantuan kepada mereka. Mereka berkata:

Bagaimana kami boleh menyelamatkan akhirat kami pada zaman ini yang dipenuhi dengan pelbagai fitnah yang menggiurkan, tarikan hawa nafsu yang mempesonakan dan penipuan hiburan yang menyeronokkan?

Lalu saya menjawab dengan nama keperibadian maknawi yang dimiliki oleh Rasa’il al-Nur dengan berkata:

Kubur terpampang di hadapan semua orang! Tiada siapa boleh mengingkarinya. Setiap orang daripada kita pasti akan memasukinya. Terdapat hanya tiga jalan untuk memasukinya, tiada yang keempat:

Jalan pertama: Jalan ini akan membawa orang-orang yang beriman merasakan kubur sebagai sebuah pintu yang terbuka terhadap taman-taman yang indah dan dunia yang luas, lebih baik dan lebih indah daripada dunia ini.

Jalan kedua: Jalan ini akan membawa orang yang tenggelam di dalam kesesatan walaupun mereka beriman dengan akhirat merasakan bahawa kubur adalah pintu penjara yang kekal. Mereka diperlakukan sebagaimana kepercayaan mereka dan sebagaimana pandangan mereka terhadap kewujudan dan kehidupan di atas muka dunia dahulu. Mereka akan diasingkan daripada semua para kekasih mereka dan dikurung bersendirian kerana mereka tidak beramal sebagaimana iktikad dan pegangan mereka.

Jalan ketiga: Melalui jalan ini, mereka yang tidak beriman dengan akhirat iaitu mereka yang sesat akan diheret. Ketika itu, mereka mendapati kubur menjadi pintu yang menghabis dan mengakhiri riwayat mereka sepenuhnya. Kubur pada pandangannya merupakan tali gantung yang menamatkan riwayatnya dan riwayat mereka yang dikasihinya. Ini adalah balasan kepada keingkarannya terhadap hari akhirat.

Kedua-dua hakikat ini adalah suatu yang diketahui secara badihi, tidak perlu kepada dalil dan bukti, kerana ia boleh disaksikan dengan mata kepala.

Ajal tidak diketahui oleh kita kerana dilindungi oleh dinding alam ghaib. Kematian pula mungkin mendatangi kita pada bila-bila masa sahaja tanpa membezakan antara yang tua dengan yang muda… Tidak syak lagi manusia lemah yang melihat permasalahan yang menggerunkan ini berlaku di hadapan matanya pada setiap ketika, maka sudah pasti dia akan sentiasa berusaha untuk melakukan apa sahaja yang boleh menyelamatkannya daripada hukuman mati tersebut. Dia juga akan berusaha untuk mencari apa sahaja jalan yang boleh menukar pintu kuburnya daripada kegelapan pekat kepada cahaya bersinar yang membawanya kepada dunia abadi dan taman-taman yang menakjubkan di alam cahaya dan kebahagiaan berkekalan… Tidak diragukan lagi, ini adalah permasalahan utama manusia, bahkan ia adalah permasalahan yang lebih utama dan lebih besar daripada seluruh isi dunia ini.

Kejelasan hakikat ini, iaitu hakikat kematian dan alam kubur melalui tiga jalan yang telah dinyatakan di atas telah dikhabarkan oleh 124 ribu orang-orang yang benar percakapannya iaitu para nabi yang mulia, yang memikul panji-panji kebenaran yang merupakan mukjizat mereka yang jelas nyata… Hakikat ini juga telah dikhabarkan oleh 124 juta pada wali yang salih. Mereka membenarkan apa yang dikhabarkan oleh para Nabi yang mulia. Mereka turut menyaksikan kebenaran hakikat tersebut melalui kasyaf, zauq dan syuhud… Kemudian hakikat ini turut dikhabarkan oleh bilangan yang tidak terhingga dari kalangan ulama yang muhaqqiqin. Mereka juga turut membukti benarkan apa yang dikhabarkan oleh para Nabi dan para wali itu dengan dalil-dalil akli yang mencapai tahap ilmu al-yaqin,[1] sehingga mencapai tahap keyakinan 99%.

Semua mereka memperakui bahawa untuk menyelamatkan diri daripada hukuman ‘ketiadaan abadi’ dan untuk menyelamatkan diri daripada diletakkan dalam tahanan bersendirian serta menukar kematian kepada kebahagiaan abadi hanyalah boleh berlaku dengan beriman kepada Allah dan mentaatiNya sahaja. Tiada lagi cara selain itu.

Ya! Jika seseorang melalui satu jalan tanpa menghiraukan amaran yang diberikan oleh orang lain tentang bahaya yang wujud pada jalan tersebut, meskipun risikonya hanya satu peratus sahaja, sudah pasti kebimbangan dan kegelisahan yang dialaminya kerana menggambarkan bahaya yang bakal menimpa itu sudah cukup memutuskan keinginannya terhadap makanan?
Maka bagaimana pula keadaannya terhadap perkhabaran yang dibawa oleh ratusan ribu orang yang benar percakapannya seratus peratus! Mereka semua bersepakat mengatakan bahawa kesesatan dan keingkaran akan menolak manusia menuju ke arah tali gantung dan penjara kubur yang terasing dan berkekalan, sebagaimana ia jelas terpampang di hadapan kamu semua. Mereka juga mengatakan bahawa iman dan ibadat dengan keyakinan seratus peratus sudah cukup boleh digunakan untuk menghilangkan kayu tali gantung dan mengunci pintu penjara perkuburan. Ia juga boleh mengubah kubur menjadi satu pintu yang terbuka mengadap ke arah istana-istana yang dihiasai dengan kebahagiaan yang berkekalan serta dipenuhi khazanah yang tidak pernah berkurangan… Perlu dinyatakan di sini, di samping mereka membawa perkhabaran tersebut, mereka juga telah menunjukkan tanda-tanda dan kesan-kesannya.

Sekarang saya ingin bertanya kepada kamu:

Apakah pendirian manusia yang tidak bernasib baik terutamanya seorang muslim terhadap masalah yang besar ini? Adakah seluruh kekuasaan yang ada di dunia ini di samping segala kelazatan dan kenikmatan yang ada padanya, mampu menghilangkan kecelaruan dan kebimbangan manusia yang sedang menunggu gilirannya pada setiap saat untuk masuk ke dalam kubur, jika dia adalah seorang yang tidak mempunyai iman dan amal ibadat?
Di samping itu, proses penuaan, penyakit dan bala bencana, serta kematian yang berlaku di sana sini, semuanya melahirkan rasa amat dukacita di dalam hati setiap manusia dan memberikan amaran kepadanya tentang kesudahan yang pasti akan dihadapinya. Sudah pasti di dalam hati orang-orang yang sesat, bodoh dan bersifat kegilaan itu akan bergejolak api maknawi yang mengazabkan mereka sehingga walaupun mereka sedang menikmati kesukaan dan kelazatan duniawi. Tetapi hanya kealpaan sahaja yang menghalang mereka daripada merasai azab yang pedih itu.

Ahli iman dan ketaatan melihat kubur yang terpampang di hadapan mereka sebagai satu pintu yang menuju kepada taman-taman bahagia dan kenikmatan yang berkekalan. Kekuasaan ilahi mengurniakan kepada mereka satu paspot yang membolehkan mereka memperoleh suatu khazanah yang tidak akan binasa lantaran penyaksian keimanan yang mereka lakukan. Oleh itu, setiap orang daripada mereka akan merasai kelazatan mendalam yang sebenar, serta kesegaran ruh yang membugar ketika menunggu seruan yang memanggilnya: “Marilah… Ambillah kad anda ini!” Kesegaran ruh tersebut jika boleh bertukar dalam bentuk yang berjisim nescaya ia akan menjadi seumpama taman maknawi yang khusus buat si mukmin tersebut, sebagaimana sesuatu biji benih boleh bertukar dan terbentuk menjadi sepohon pokok yang mempunyai daunan yang menghijau.

Jika inilah hakikatnya, maka sesiapa yang meninggalkan kenikmatan rohani yang kudus itu hanya kerana ingin mengecap suatu kelazatan sementara yang tidak dibenarkan, bahkan dipenuhi dengan pelbagai kesakitan (seperti ingin memakan madu yang beracun) berdasarkan dorongan kegilaan kemudaan dan kebodohannya, maka sudah pasti dia akan tenggelam ke dalam lembah yang lebih hina daripada lembah haiwan… Bahkan kedudukannya tidak sama dengan kedudukan golongan mulhid juga, kerana mungkin orang yang mengingkari Rasul kita Nabi Muhammad saw dari kalangan mereka, mungkin beriman dengan rasul-rasul yang lain.
Jika dia tidak beriman dengan keseluruhan rasul-rasul, mungkin dia beriman dengan kewujudan Allah swt. Jika dia tidak beriman dengan Allah swt, mungkin dia mempunyai sifat-sifat terpuji yang akan memperlihatkan kepadanya sifat-sifat kesempurnaan Allah. Sedangkan seseorang muslim tidak mengenal para rasul yang mulia, tidak beriman dengan tuhannya, tidak mengetahui sifat-sifat kesempurnaan manusia melainkan melalui perantaraan Nabi Muhammad saw. Oleh itu, sesiapa yang tidak beradab dengan pengajarannya yang berkat, bahkan melepaskan diri daripada perintahnya, maka dia tidak mengiktiraf para nabi yang lain, bahkan dia mengingkari Allah swt itu sendiri. Dia juga tidak mampu untuk memelihara asas-asas kesempurnaan manusia di dalam ruhnya, kerana asas-asas agama dan tarbiah yang dibawa oleh Nabi Muhammad saw adalah amat dalam dan tegap serta sempurna sehingga sesiapa yang meninggal dan mengabaikannya tidak mungkin dapat mendakap sebarang cahaya dan sebarang kesempurnaan. Bahkan dia dihukum agar dihumbankan ke lembah kehinaan dan kerendahan mutlak. Kerana baginda saw adalah penyudah kepada seluruh para Nabi, penghulu segala mursalin dan pemimpin manusia seluruhnya dalam segala hakikat kebenaran. Bahkan baginda juga adalah paksi kebanggaan dan kemuliaan, sebagaimana dibuktikan dengan pembuktian yang indah sepanjang 14 kurun.

Wahai mereka yang terfitnah oleh keindahan kehidupan dan kenikmatan di dunia! Wahai mereka yang mengerahkan seluruh tenaga bagi menjamin kehidupan dan masa depan dalam keadaan kebimbangan! Wahai mereka yang merana!

Jika kamu ingin mengecap kenikmatan dan kelazatan dunia melalui kebahagiaan dan kerehatan yang terdapat di dalamnya, maka kelazatan dan kenikmatan yang diizinkan oleh syarak sudah mencukupi bagi kamu. Ia sudah memadai bagi memenuhi segala tuntutan dan keinginan kamu serta menenangkan hawa nafsu kamu. Daripada penjelasan yang saya berikan sebelum ini, anda tahu bahawa setiap kelazatan dan kenikmatan yang terkeluar daripada batasan kebenaran syarak mengandungi seribu satu macam kesakitan, jika kita dapat menayangkan peristiwa dan kejadian yang akan berlaku selepas 50 tahun misalnya di atas skrin layar, sebagaimana kita menayangkan peristiwa dan kejadian yang telah berlaku. Jika ini dapat dilakukan, nescaya mereka yang alpa yang bertindak bodoh pasti akan menangis dengan tangisan yang pahit terhadap apa yang menggembirakan mereka sekarang.

Sesiapa yang menginginkan kegembiraan dan kesukaan yang suci serta berterusan di dunia dan akhirat, dia hendaklah menurut segala pentarbiahan keimanan yang dilakukan oleh Nabi Muhammad saw.

[1]Antara dalil tersebut ialah Rasa’il al-Nur itu sendiri sebagaimana disaksikan oleh seluruh mereka. (al-Nursi)

No comments: