Tuesday, September 30, 2008

Pelaburan Yang Menguntungkan


Nabi Muhammad s.a.w pernah berkata yang bermaksud,



" Mana-mana orang Mukmin yang memberi makanan kepada seorang mukmin yang lain kerana kelaparan, maka Allah akan memberi makanan kepadanya pada Hari Kiamat dari buah-buah syurga. Dan mana-mana orang mukmin yang memberi minuman kepada seorang mukmin yang lain kerana kehausan, maka Allah akan memberi minuman kepadanya pada hari Kiamat dari khamar syurga yang termetri bekasnya. Dan mana-mana orang mukmin yang memberi pakaian kepada seorang mukmin yang lain kerana tidak berpakaian maka Allah akan memberi pakaian kepadanya dari pakaian syurga yang berwarna hijau."



(Riwayat at-Tirmizi dan Abu Daud)

Sekalung Terima kasih


Alhamdulillah, sekalung terima kasih buat para dermawan budiman yang telah mendanai Darul Wardah. Setakat 21 September 2008, setelah mengadakan program Ihya Ul Nahar di sepuluh tempat, masjid, surau dan sekolah bermula 5 September hingga hari ini, kami telah berjaya mendapatkan RM 2350. Sekali lagi, ribuan terima kasih dari kami. Hanya Allah yang mampu membalas budi-baik dan sumbangan anda.

Jua tidak lupa buat semua tenaga Helwa dan orang perseorangan yang telah mengembleng tenaga dalam mengimarahkan ihya ul Nahar dan semua program yang dilaksanakan oleh ABIM Selangor. Marilah kita berdoa agar diberi kesihatan, kekuatan dan istiqamah dalam menjayakan misi membina tamadun Khayra Ummah ini.
Semoga Allah mempermudahkan urusan-urusan kita di dunia dan akhirat. Amin

nota-jambangan mawar ini buat anda..individu-individu yang banyak menyumbang pada jalan Allah.

Monday, September 29, 2008

Bersahabat Dengan Orang Berilmu

Allah berfirman yang bermaksud:

"Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredhaan Allah semata-mata dan janganlah kamu memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami dalam al-Quran, serta dia menurut hawa nafsunya dan tingkah lakunya pula adalah melampaui kebenaran."

(Surah al-Kahfi: 27)

Seketika Bersama Al-Quran : Apakah Gunung bergerak seperti gerakan Awan?

Meniti kalimah demi kalimah di dalam Surah An-Naml sangat mengasyikkan apabila Allah taala memulakan surah ini menyatakan Al-Quran sebagai Huda dan Bushra kepada Golongan Mukminin dgn sifat2 yang dinyatakan.

Kemudian kita dibawa ke puncak Tur Sina di mana berlakunya dialog antara Musa a.s dan Allah s.w.t yang menyaksikan pengurniaan beberapa mukjizat, belum pun puas kita dgn cerita ini, kita dihidangkan pula dengan kisah lain lagi yang lebih panjang dari kisah awal tadi.

Iaitu kisah Nabi Sulaiman a.s dan kelebihan-kelebihan yang tidak diberikan kpd nabi-nabi yang lain, antaranya memeliki bala tentera dari kalangan Jin, manusia dan burung, memahami bahasa binatang.

Sedikit sangat Nabi-nabi yang diberi Risalah dan Sultan (kekuasaan) kalau dibandingkan dgn nabi-nabi yang hanya diberi Risalah tanpa Sultan.

Tambah mengasyikan lagi kisah Sulaiman a.s dan kerajaan Balkis yang dibentangkan dalam dua muka surat, terasa begitu pendek dan cepat sangat berlalu.

Dan bila tiba di ayat 88, terkenang pula di zaman belajar dahulu bila guru kami membacakan ayat ini dan menyoal kami bagaimana lojiknya ayat ini? Firman Allah taala ini mafhumnya :"Dan (Bila) Kamu Melihat gunung kamu menyangkanya kaku (tidak Bergerak) padahal ia bergerak sepertimana awan bergerak, itulah ciptaan Allah taala yang sangat halus dalam setiap sesuatu, dan Allah Taala sangat mengetahui apa yang kamu lakukan".

Dan di sini saya mengajak sahabat-sahabat meneliti ayat ini, dan kongsikan kepada semua hasil tadabbur yang diperolehi, bagaimana persamaan gerakan Gunung dan awan ini boleh difahami.

Ini adalah antara 1000 ayat yang tidak ditafsirkan oleh rasulullah s.a.w. di dalam Al-Quran.

Saturday, September 27, 2008

Tip Segar Sepanjang Hari

  • Mulakan hari dengan doa bangun tidur
  • Banyakkan bersyukur
  • Senantiasa berfikiran positif
  • Lakukan senaman ringan
  • Rancang aktiviti harian
  • Sentiasa menjaga kesihatan diri
  • Istirehat itu penting
  • Bergembiralah dalam setiap keadaan
  • Jangan bertangguh kerja
  • Tetapkan keutamaan dalam kerja
  • Cukup tidur

Friday, September 26, 2008

Soal hati

Nabi Muhammad s.a.w pernah berkata yang maksudnya,
"Perhatikan! Sesungguhnya di dalam badan seseorang itu ada seketul daging, apabila ia baik maka baiklah seluruh anggota badan dan apabila ia rosak maka rosaklah sekalian anggota badan. Ketahuilah, itulah yang dikatakan hati."
(Direkodkan oleh Bukhari dan Muslim)

Thursday, September 25, 2008

Bersyukurlah....

Nabi Muhamad pernah berpesan kepada umatnya yang bermaksud,
"Bersyukurlah kita terhadap segala yang kita perolehi kerana di dunia ini sudah cukup bagi kita seandainya kita dapat menghilangkan kelaparan, menutupi badan, mempunyai rumah yang baik dan mempunyai kenderaan yang boleh digunakan. Bersyukurlah."
(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Wednesday, September 24, 2008

Adab Berpakaian Muslimah Menyambut Syawal

  • Mulakan memakai pakaian dengan Bismillah kerana memang disunatkan membaca Bismillah dalam setiap pekerjaan yang baik.
  • Berniat untuk menunaikan perintah Allah iaitu menutup aurat. Bukan untuk bermegah atau menunjuk-nunjuk dengan kecantikan pakaian.
  • Berdoa ketika memakai pakaian sama ada pakaian lama atau baru.
  • Memakai pakaian yang sederhana serta tidak terlalu mahal.
  • Pastikan kebersihan pakaian supaya sah dipakai untuk beribadah.
  • Mulakan memakai dari kanan.
  • Sunat mengibas-ngibaskan pakaian untuk memastikan tiada serangga atau seumpamanya yang membahayakan.
  • Melipat pakaian setelah dibasuh dan menyebut nama Allah ketika menyimpannya. Jangan dicampakkan di merata tempat.
  • Wajib memakai pakaian yang labuh hingga menutup kaki kerana kaki juga adalah aurat yang wajib ditutup.
  • Tidak memakai pakaian yang menyerupai lelaki.
  • Tidak memakai pakaian yang disulam berlebihan dengan warna yang terlalu menonjol hingga menarik perhatian umum.
  • Menjauhi pakaian yang ketat dan jarang.

Sekitar program Ihya ul Nahar

Bersama warga mualaf

Bersama adik-adik Sekolah Menengah Teknik Shah Alam

Tuesday, September 23, 2008

Kota Besar Kerajaan Islam

  • Tripoli, Lebanon
  • Tyre, Lebanon
  • Sidon, Lebanon
  • Baghdad, Iraq
  • Basrah, Iraq
  • Samarra, Iraq
  • Mosul, Iraq
  • Qum, Iraq
  • Isfahan, Iraq
  • Rayy, Iraq
  • Shiraz, Iraq
  • Herat, Afghanistan
  • Balkh, Afghanistan

Bumi

Satu kisah metaforik ketika Rasulullah melakukan Mikraj ke Sidratulmuntaha. Baginda melihat seorang tua yang tidak bergigi, rambutnya banyak telah gugur, kulitnya kering dan wajahnya berkedut-kedut. Orang tua itu berjalan dengan langkah yang berat. Lalu, baginda bertanya kepada Jibrail, "Siapakah gerangan orang tua itu?" Jibrail menjawab, "Orang tua itu adalah perumpamaan bumi yang sangat tua usianya."

SMART SOLAT ABIM Mendapat Sambutan Hangat

JALAN KEBUN, 21 September ’08 – Seramai 160 orang remaja berusia 9 tahun hingga 16 tahun telah mengikuti Program ‘Smart Solat’ yang dianjurkan oleh ABIM Selangor dan PEPIAS di Masjid An Naim, Jalan Kebun ( Utara ) dan Masjid Al Falah, Jalan Kebun ( Selatan ).

Seramai 20 orang pendakwah muda dari kalangan pimpinan dan ahli PEPIAS dari berbagai universiti telah turun padang membantu melancarkan program tersebut. Program kali ke tiga ini mendapat sambutan yang begitu menggalakkan menandakan kesedaran umat tentang perlunya pendidikan ibadah anak-anak diberi keutamaan semakin meningkat.

Program ini telah telah mendapat kerjasama yang baik dari semua pihak terutamanya pihak MAIS yang telah menyediakan dana dakwah, pihak masjid yang telah memberikan kebenaran dan jemputan kepada peserta, Blue T Publication Sdn Bhd yang telah menyumbangkan majalah ANA MUSLIM untuk semua peserta dan semua pihak yang membantu menjayakan program tersebut.

Program yang bermula dari pukul 8.30 pagi itu dipenuhi dengan bengkel perbincangan untuk memberikan lebih kefahaman dan praktikal kepada semua peserta. Semasa waktu rehat, semua pelajar menikmati juadah kerohanian dengan menunya ialah solat duha, solat hajat dan solat tasbih.

Program berakhir pada pukul 4.00 petang kerana semua peserta akan meneruskan aktiviti mereka bersama dengan pihak Masjid iaitu Majlis Khatam Al Quran. Semua peserta begitu gembira dan berharap dapat mengikuti program lain di masa yang akan datang.

Bersyukur Dengan Ruang dan Peluang Yang Ada

Alhamdulillah. Bersyukurlah sahabat-sahabat sekalian dengan peluang dan ruang yang masih diberikan Allah kepada kita untuk menikmati Ramadhan yang dikasihi ini. Semoga Ramadhan ini menjadi iktibar dan muhasabah kepada kita sebagai persediaan bagi menghadapi cabaran dan ujian getir sepanjang 11 bulan yang akan datang. Isikanlah ruang masa kita pada kali ini dengan yag terbaik dan semoga ianya diterima sebagai amalan yang terbaik untuk mengiringi kita diakhirat kelak.
Minggu lalu, 19 sehingga 21 September 2008 merupakan hari yangbersejarah untuk kita semuanya khususnya PEPIAS. Sekali lagi bersyukurkepada Allah kerana memberikan kita bersama kesempatan untuk menjayakan 6 program serentak di 4 kawasan berasingan. PEPIASsebagaimana tahun-tahun yang lepas kali sekali lagi dijemput untuk memenuhi beberapa undangan program yang dijadualkan oleh beberapa pihak masjid. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada pihak penganjur yang berjaya menganjurkan program yang baik untuk umat kita juga tidak lupa kepada dai'-dai muda PEPIAS yang bertungkus lumus membantu dan menjayakan program-program ini.
4 program yang telah PEPIAS jayakan bersama beberapa NGO lain khususnya ABIM Selangor dan WADAH Selangor adalah:
1. Program bersama orang asli di Serendah pada 19 dan 20 September yang lalu dengan kekuatan PEPIAS seramai 20 orang. Diwakili oleh da'i-da'i muda dari UIAM Gombak, UKM, Asasi UIAM Petaling Jaya, KUIS dan Kolej Cybernatic. Operasi disana diketuai oleh saudara Zafrullah Aris.
2. Program Ihya' Ramadhan dan SMART Solat di Masjid Ar-Rahimah Kuala Kubu Baru. Berlangsung pada 20 dan 21 September juga dengan kekuatan yang sama dan diketuai juga oleh saudara Zafrullah b. Aris.
3. Program Ihya' Ramadhan anjuran bersama JIM Daerah Kuala Langat di Surau Raudhatul Muttaqin Taman Kemuning Banting selama 2 hari iaitu 20 dan 21 September. Dengan kekuatan seramai 7 orang da'i muda PEPIAS dari KUIS, 5 dari USIM dan 4 orang da'i muda yang dibawa dari Tanjong Karang, Sungai Manggis dan Olak Lempit. Program diketuai sendiri oleh saudara Raden Imaduddin dan dibantu oleh saudara Nur Firdaus (KUIS).
4. Iftar bersama ABIM Selangor bermula pada petang 20 September sehingga 21 September 2008. Pada malam 20 September, pembentangan Menghadam Ucapan Dasar (MUDA) telah berlangsung bersama PEPIAS, ABIMSelangor dan WADAH Selangor. Pada keesokannya harinya (21 September) telah berlangsung misi agenda bersama masyarakat sebaik sahaja tamat kuliah Subuh.
5. Masjid Jalan Kebun Shah Alam. Dengan kekuatan da'i-da'i muda 4 dari Kolej Cybernatic, 7 dari UIAM Gombak, 1 dari Asasi UIAM Nilai dan seorang dari Cheras (bakal pelajar Morocco), telah berjaya menjalankan program ini sehinggalah kepada majlis tadarus dan khatam Al-Quran. Dengan bilangan kekuatan yang mencecah 16 orang, perjalan cukup lancar dan berkesan. Program ini diketuai oleh saudara Abdul Syukur dan saudari Noor Adila.
6. Surau Al-Falah Jalan Kebun pula dikunjungi oleh 3 orang da'i-da'i muda dari Kolej Cybernatic. Diketuai oleh saudara Zulhelmi, program ini juga berjaya menarik minat pihak surau untuk menjalankannya lagi pada tahun-tahun akan datang.
Semoga usaha berterusan ini akan memberi kekuatan rohani dan istiqamah dalam jiwa da'i-da'i muda dalam PEPIAS secara khususnya. Program sebegini amat diyakini akan mampu membentuk jatidiri, pemikiran dan kesatuan hati dalam melaksanakan tanggungjawab dakwah yang semakin mencabar.
Buat adik-adik ku di PEPIAS, rintangan pasti datang, ujian pasti melanda, kekuatan kita bukan bergantung kepada siapa kawan kita, kekuatan kita tidak dinilai pada siapa lawan kita, tetapi ianya adalah bergantung kepada ketinggian TAQWA kita. Bertaqwalah kepada Allah, perlakukanlah tugas dakwah ini kerana Allah, nescaya, belajar, semangat hidup, berdikari dan dayajuang pasti Allah akan bekalkan pada jiwa yang suci dan bersih serta istiqamah dijalan-NYA...Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar....

Monday, September 22, 2008

Kota Besar Kerajaan Islam

  • Cordova, Sepanyol
  • Sevilla, Sepanyol
  • Granada, Sepanyol
  • Toledo, Sepanyol
  • Valencia, Sepanyol
  • Malaga, Sepanyol
  • Almeria, Sepanyol
  • Tripoli, Libya
  • Benghazi, Libya
  • Kaherah, Mesir
  • Iskandariah, Mesir
  • Qairawan, Mesir

ABIM Bantu Keluarga Aktivis Yang Terkorban

HELWA Selangor diwakili oleh Azareka, Faizah dan Suhaila sedang menyampaikan sumbangan kepada isteri arwah dirumahnya.

TERAS JERNANG – 13 September 2008, ABIM Selangor telah menyerahkan sumbangan Tabung Prihatin yang telah dilancarkan selama sebulan dari 17 Julai – 17 Ogos yang lalu kepada balu al marhum Amin Nasir yang terkorban dalam kemalangan jalan raya di Puchong pada bulan Julai yang lalu. Rombongan yang diketuai oleh YDP ABIM Selangor itu turut dihadiri Sdr Khairuddin Abbas ,PSU ABIM Selangor dan Sdr Azman SU ABIM Sepang.


Beliau telah meninggalkan seorang isteri dan empat orang anak yang masih kecil.Isterinya bertugas diUniten dibahagian pentadbiran dan mereka tinggal di Kampung Teras Jernang, Bangi. ABIM Bangi telah membantu isteri arwah menguruskan persekolahan anak dan urusan kebajikan yang diperlukan.

Walaupun sumbangan yang diberi tidak seberapa, tetapi keprihatinan ini diharap dapat mengurangkan tekanan dan bebannya untuk seketika. Biarpun sumbangannya kepada gerakan dakwah tidak lama tetapi ia tetap pernah melakukan sesuatu untuk agamanya. Hanya Allah yang dapat menghitung segala amal hamba-hambaNYa.

Program Imarah Ramadhan 1429H

Yang Di Pertua ABIM Negeri Selangor
Exco ABIM Negeri Selangor
menjemput dan mempersilakan

PIMPINAN ABIM DAERAH NEGERI SELANGOR
PIMPINAN WADAH NEGERI SELANGOR
PIMPINAN PEPIAS
PENGERUSI KBI SELANGOR DAN AJK

KE PROGRAM IMARAH RAMADHAN 1429H
Kem Bumi Jati , Jalan Kebun, Seksyen 30 Shah Alam
Pada
20-21september 2008M bersamaan 20-21 Ramadhan 1429H

Program selari akan berlangsung sekali
Iftar Jamaie
Tarawikh
Tadarus
Menghadam Ucapan Dasar Presiden (MUDA)
ABIM Prihatin
Ihya un Nahar Ramadhan
Bahagia Menjadi Gadis
Ziarah Orang Asli - Bukit Kemandol

Aturcara Program
20 September 2008
3.30 petang - Pendaftaran
4.30 - Solat Asar dan Mathurat,Persiapan Berbuka
7.30-Berbuka, solat Maghrib, solat Isya' dan Tarawikh
9.30 malam- Menghadam Ucapan Dasar (MUDA) Presiden
11.00 - moreh
21 September 2008
4.30 pagi- Qiyamullail dan sahur
5.30 pagi - Solat Subuh , Tazkirah
8.30 pagi - ABIM Prihatin,Ihya un Nahar Ramadhan,Bahagia Menjadi Gadis, Ziarah Orang Asli - Bukit Kemandol

Kehadiran tuan/puan amat diharapkan agar program ini dapat dijalankan dengan jayanya.

YURAN KOMITMEN : RM 10.00

Sunday, September 21, 2008

Kota Besar Kerajaan Islam

  • Damsyik, Syria
  • Antakya, Syria
  • Aleppo, Syria
  • Homs, Syria
  • Samarkand, Uzbekistan
  • Bukhara, Uzbekistan
  • Fez, Maghribi
  • Marrakesh, Maghribi
  • Tarsus, Turki
  • Konya, Turki

Saturday, September 20, 2008

Jarang Dihargai...

Rasulullah pernah berkata yang bermaksud, "Dua nikmat yang sering disia-siakan oleh ramai orang ialah kesihatan dan masa lapang."

(Direkod oleh Bukhari dan Ibnu Abbas)

Mencari Malam Seribu Malam

PESAN JUNJUNGAN BESAR NABI MUHAMMAD (SELAWAT DAN SALAM KEATAS BAGINDA)ADALAH MALAM QADAR BERLAKU PADA SATU MALAM DARIPADA 10 MALAM TERAKHIR (HARI GANJIL) BULAN RAMADHAN.

PETUA OLEH IMAM GHAZALI DAN LAIN-LAIN ULAMA’ UNTUK CARI MENCARI MALAM LAILATUL QADAR

JIKA AWAL RAMADHAN JATUH PADA HARI:-


I) ISNIN MALAM QADAR DIJANGKA BERLAKU PADA MALAM 21 RAMADHAN;

II) RABU ATAU AHAD MALAM QADAR DIJANGKA BERLAKU PADA MALAM 29 RAMADHAN;


III) SELASA ATAU JUMAAT – MALAM QADAR DIJANGKA BERLAKU PADA MALAM 27 RAMADHAN


IV) KHAMIS- MALAM QADAR DIJANGKA BERLAKU PADA MALAM 25 RAMADHAN;

V) SABTU- MALAM QADAR DIJANGKA BERLAKU PADA MALAM 23 RAMADHAN

Kata Sheikh Abu Hassan bahawa mula dia baligh, dia sentiasa dapat menghidupkan lailatul qadar pada malam yang tepat mengikut petua diatas.

Berdasar petua di atas, insyaallah malam qadar jatuh pada malam ke 21 ramadhan bersamaan dengan malam selepas siang 20 hb September 2008 atau Sabtu malam Ahad.
Walau bagaimanapun, janganlah ibadat pada malam ini sahaja, carilah malam qadar pada malam-malam ganjil yang lain juga!!!!

Tanda malam Qadar ialah :

1) malam itu tenang, tidak dingin dan tidak panas;
2) siangnya cahaya matahari warnanya pucat;
3) pada malam itu malaikat Jibril akan menyalami orang yang beribadat pada malam itu dan tandanya ialah kita tiba-tiba rasa sangat sayu dan kemudiannya menangis teresak-esak secara tiba-tiba.

MARILAH KITA BERAMAI-RAMAI MEMERIAHKAN SUASANA 10 MALAM TERAKHIR RAMADHAN DENGAN BERIBADAT KEPADA ALLAH SWT DENGAN IKHLAS DAN PENUH KEIMANAN, MUDAH-MUDAHAN KITA DAPAT KURNIAAN ALLAH YANG KELEBIHANNYA PAHALANYA MELEBIHI - 1000 BULAN ATAU 83 TAHUN UMUR KITA.

Seketika Bersama Al_Quran : Terkadang Iman Iblis lebih baik dari Iman Manusia

Beberapa ulama menyenaraikan Aqidah Iblis dan kepercayaannya seperti yang dipaparkan di dalam Al Quran antaranya :

1. Iblis mengakui janji Allah adalah benar, dan janjinya adalah palsu. lihat ayat 22 surah Ibrahim.

2. Iblis akui Allah taala maha Pencipta. Surah Al-A'raf : 12.

3. Iblis meyakini Hari kebangkitan (Kiamat). Surah Al-A'raf : 14.

4. Iblis bersumpah dengan kemulian Allah swt, ertinya mengiktiraf Allah taala sebagai Al-Aziz. Surah Sod (ص) ;( 82 )

5. Menyakini Allah taala berkuasa menangguhkan ajalnya. surah sod : 79.

6. Mengakui Allah itu tuhannya. surah sod : 79.

7. Mengakui tidak punya kuasa mempengaruhi manusia, kecuali manusia itu sendiri yang mengikut seruannya. Surah Ibrahim :22.

8. Menafikan syirik terhadap Allah taala. Surah Ibrahim :22.

9. Meyakini bahawa orang-orang yang berbuat zalim akan mendapat siksaan yang sangat pedih. Surah Ibrahim :22.

10. Iblis adalah tentera Allah utk menguji keimanan manusia. Surah Zukhruf : 36.

Friday, September 19, 2008

Pergi Tak Kembali...

Rezeki yang tidak diperoleh hari ini masih dapat diharapkan perolehannya lebih banyak di hari esok, tetapi waktu yang berlaku hari ini tidak mungkin kembali esok...

(Ali bin Abi Talib)

Iftar ABIM Klang

KLANG, 17 September 08 – ABIM Klang telah menganjurkan Majlis Iftar , Tazkirah dan Solat Terawih di Pusat Pendidikan Abim Klang di Batu 8 Jalan Meru. Seramai 50 orang ahli keluarga besar ABIM dari kalangan anak-anak, guru-guru, pimpinan dan ahli-ahli veteran Abim Klang turut hadir memeriahkan majlis tersebut.

Majlis Iftar yang dijalankan dengan cara ’pot luck’ ini mendapat sambutan dari semua unit usrah yang ada di daerah Klang. Selepas solat Maghrib, Tazkiran Ramadan telah disampaikan oleh Tuan Guru Prof. Madya Dr Mujaini , ilmuan dan pendakwah ABIM yang sekarang bertugas di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor ( KUIS ).

Antara sahabat Abim Klang yang hadir dalam majlis tersebut ialah Sdr Tamsir yang buta kedua-dua matanya. Dia datang dengan isteri dan anak kecilnya dan yang lebih istimewa dia membawa menu popular dikedainya iaitu cendawan goreng celup tepung. Sebagai seorang penyokong setia usaha dakwah Abim dia sentiasa konsisten dalam menghadiri majlis-majllis dan program Abim kecuali sekiranya ada urusan lain.

Pemeriksaan Kesihatan Percuma

Tuan/Puan adalah dengan segala hormatnya dijemput menghadiri Pemeriksaan Kesihatan yang akan diberikan secara percuma seperti butiran berikut:

Tarikh: 20 September 2008 (Sabtu)
Masa: 9.00 pagi hingga 12.30 petang
Tempat: Surau Taman Bunga Raya (SUBUR), Setapak

Semoga Allah s.w.t. memudahkan segala urusan kita meraih segala kebaikan yang disediakan oleh-Nya dalam bulan Ramadhan yang penuh baraqah ini, insya-Allah.


Anjuran bersama:

Surau Taman Bunga Raya (SUBUR)
Biro Kesihatan, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Fitnah Wanita

Perhatian:

Dialog yang dikemukakan oleh Rasa’il al-Nur biasanya dibayangi dengan perasaan rahmat dan kasihan belas. Oleh itu, kaum wanita lebih kuat berpegang dengan Rasa’il al-Nur yang memang mempunyai keistimewaan yang lebih dengan memiliki sifat kasih sayang dan lemah lembut jika dibandingkan dengan kaum lelaki. Tetapi risalah ini ditujukan kepada kaum wanita yang mengikut jejak langkah wanita asing secara membabi buta. Oleh itu risalah ini kelihatan keras perbicaraannya. Ini dilakukan hanya untuk memberikan kesedaran kepada kaum wanita yang lalai. Oleh itu, saya berharap agar kekerasan perbicaraan risalah ini tidak mengejutkan saudari-saudari kita dalam iman yang memang bersifat penuh kasih sayang dan lemah lembut.

Difahami daripada beberapa buah hadis bahawa kaum wanita dan fitnah yang dibawakan mereka akan menyebabkan berlaku bahaya yang amat besar dan menakutkan di akhir zaman.

Ya, sebagaimana diberitakan oleh beberapa buah buku sejarah, bahawa pada kurun-kurun pertama dahulu, terdapat sekumpulan wanita yang terkenal sebagai orang yang berani memikul senjata. Mereka dikenali sebagai wanita Amazon sehingga dapat dibentuk satu kumpulan tentera daripada golongan mereka. Kumpulan tentera ini terlibat dalam beberapa peperangan yang sengit. Begitu juga pada zaman kita ini. Ketika kesesatan zandaqah (kekufuran) melakukan serangan terhadap Islam, terdapat satu kumpulan yang amat digeruni yang merupakan salah satu kumpulan yang memusuhi Islam yang menjalankan aktivitinya berdasarkan perancangan konspirasi yang ditetapkan oleh jiwa yang sentiasa menyeru ke arah kejahatan dan menyerahkan urusan kepimpinannya kepada syaitan. Kumpulan ini terdiri daripada sekumpulan wanita yang berpakaian tetapi bertelanjang, yang mendedahkan betis-betis mereka dan menjadikannya sebagai senjata keras yang tikamannya melukakan ahli iman! Mereka telah menutup pintu perkahwinan dan membuka pintu perzinaan. Tiba-tiba, mereka menawan banyak jiwa dan menusukkan tikaman yang menyebabkan luka yang amat parah pada hati dan ruh mereka dengan melakukan pelbagai perkara maksiat dan dosa besar. Bahkan beberapa jiwa telah berjaya dimatikan sama sekali hingga tidak terdaya untuk bangkit kembali.

Namun berlaku balasan yang adil kepada kaum wanita tersebut, kerana betis-betis mereka yang dijadikan senjata fitnah yang melukakan itu telah bertukar menjadi bahan api neraka jahannam dan merupakan benda pertama yang dibakar di dalam neraka, balasan akibat daripada mereka mendedahkannya hanya dalam tempoh beberapa tahun di hadapan orang yang tidak halal melihatnya semasa di dunia.

Di samping itu, mereka juga tidak memperolehi suami yang sesuai, bahkan mereka tidak berjaya memperolehinya meskipun mereka amat memerlukan kepada seorang suami sebagai menyahut panggilan fitrah dan penciptaan semulajadi mereka. Ini kerana mereka telah menyia-nyiakan kepercayaan dan kesetiaan semasa di dunia. Bahkan mereka menjadi terbuang, terhina, tidak dihiraukan dan tidak diambil peduli, kerana tiada orang yang sudi menikahi mereka dan mengambil berat tentang mereka, terutamanya pada zaman di mana hanya seorang lelaki sahaja yang menjadi penjaga kepada 40 orang wanita, sebagaimana dinyatakan di dalam hadis yang mulia.[1]

Inilah hakikatnya. Seseorang yang cantik pasti akan menyukai kecantikannya dan dengan segala daya dan upayanya berusaha untuk memelihara dan mengekalkannya serta tidak mahu ia disentuh oleh sebarang kecacatan. Kecantikan juga adalah nikmat yang dikurniakan, dan jika sesuatu nikmat disyukuri maka ia akan bertambah dan jika dikufuri ia akan hilang. Tidak syak lagi seseorang wanita yang memiliki kewarasan akan melarikan diri dengan segala kekuatan yang ada pada dirinya daripada membenarkan kecantikan dirinya menjadi wasilah untuk melakukan kesalahan dan dosa serta menyebabkan orang lain juga terjatuh ke lembah tersebut. Sudah pasti dia akan melarikan diri daripada menjadikan kecantikan dirinya bertukar kepada keburukan dan kehodohan yang membawa nahas dan dipenuhi racun. Tidak syak lagi dia pasti akan mengalami kekalahan jika dia menukar nikmat yang dikurniakan kepadanya itu menjadi paksi azab dan seksaan.

Oleh itu, sepatutnya seorang wanita yang cantik menggunakan kecantikannya menurut jalan yang dibenarkan syarak agar kecantikan yang fana’ itu akan berkekalan selama-lamanya, daripada hanya menjadi kecantikan yang tidak dapat bertahan lama kecuali beberapa tahun sahaja. Ketika itu, dia dianggap telah menunaikan kesyukuran yang sepatutnya terhadap nikmat tersebut. Jika ini tidak dilakukannya, maka dia akan meneguk berbagai-bagai kesakitan dan keazaban pada zaman tuanya. Dia akan menangis dan menyesali dirinya kerana tidak tahan melihat dirinya yang tidak dihirau oleh orang lain yang merasakan dirinya hanya membebankan mereka.

Tetapi jika kecantikan tersebut dihiasi dengan hiasan adab-adab al-Quran dan dijaga dengan selayaknya dalam paksi tarbiah Islam, maka kecantikan yang fana’ itu akan berkekalan dari sudut maknawi. Dia akan dikurniakan kecantikan yang lebih cantik, indah dan manis daripada kecantikan bidadari yang terdapat di dalam syurga yang kekal abadi sebagaimana dinyatakan di dalam sebuah hadis.[2]

Jika wanita tersebut mempunyai secebis akal, dia pasti tidak akan membiarkan hasil yang berkekalan dan menguntungkan ini terlepas daripada genggamannya.

[1]Daripada Anas, katanya: “Saya akan menceritakan kepada kamu satu hadis yang tidak akan diceritakan oleh orang lain selepasku. Saya mendengar Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: “Antara tanda-tanda kiamat ialah ilmu menjadi berkurang, zina berleluasa, wanita menjadi ramai, lelaki menjadi sedikit hingga hanya seorang lelaki sahaja menjadi penjaga kepada 50 orang wanita.” Diriwayatkan oleh al-Bukhari, kitab al-‘Ilm, bab ilmu diangkat dan kejahilan berleluasa.

[2]Terdapat banyak hadis dalam hal ini. Antaranya: Daripada Umm Salamah, isteri Nabi saw, katanya (di dalam sebuah hadis yang panjang): “Aku berkata: “Wahai Rasulullah! Adakah wanita di dunia lebih baik atau bidadari?” Baginda menjawab: “Wanita di dunia lebih baik daripada bidadari sebagaimana yang zahir lebih baik daripada yang batin.” Aku berkata: “Wahai Rasulullah! Bagaimanakah itu?” Baginda menjawab: “Dengan solat, puasa dan ibadat mereka kepada Allah, Allah akan memakaikan muka-muka mereka dengan cahaya dan jasad mereka dengan sutera yang berwarna putih, berpakaian hijau dan berperhiasan kuning… hingga akhir hadis… Diriwayatkan oleh al-Tabarani di dalam al-Kabir dan al-Awsat dengan lafaz di atas. (Dari kitab al-Targhib wa al-Tarhib, karangan al-Munziri, jil. 4, hlm. 537)

Seketika bersama Al-Quran : Yang baik boleh jadi datangnya dari sumber yang kurang baik.

Ayat 66 surah An- Nahl, Allah Taala telah memaparkan kepada kita bagaimana proses mengeluarkan susu dari celahan hampas makan dan darah. mafhum ayat tersebut :

"Sesungguhnya bagi Kamu pengajaran dari binatang ternakan kamu, kami telah memberi kamu minuman yang datang dari perutnya, susu yang keluar di antara cernaan makanan dan darah, bersih dari bauan hampas makanan dan warna darah, boleh diminum terus oleh peminumnya"

Moralnya :

1. Janganlah kita berputus harapan dgn keburukan seseorang, yang mungkin bertukar kepada kebaikan suatu hari nanti.

2. Nabi s.a.w ketika berdakwah di Kota Toif telah dilontar batu hingga berdarah, dihina dan dicaci dgn kata-kata nista, malah dikejar agar keluar meninggalkan bandar itu, sehinggalah beliau didatangi Malaikat yang menawarkan khidmat untuk mengangkat bukit dan menghempapkan ke atas kaum Thaqif yang mendiami Kota Toif itu, namun Nabi s.a.w enggan dan berdoa, Ya Allah ampunilah kaumku, sesungguhnya mereka tidak mengetahui dakwahku ini, semoga akan lahir dari sulbi mereka orang-orang yang beriman dgnmu Ya Allah". untuk makluman kita bani Thaqif beriman keseluruhannya setelah berakhirnya peperangan Hunain, dan bani inilah yang berdiri teguh dibelakang Kerajaan Umawiyah dalam mengembangkan Islam.

3. Seorang Penyair Arab Menyebut : Apalah hebatnya kasturi, asalnya juga dari seketul darah.

4. Imam Ghazali dalam Kitab Ihya Ulumuddin ada menasihat agar kita sentiasa berhati-hati dan bersangka baik selalu, katanya : carilah keuzuran utk sahabatmu walaupun 50 keuzuran, sebelum menghukum mereka dgn sesuatu hukuman.

5. Sabda Nabi S.a.w : "Barang siapa mengatakan rosaklah sesuatu kaum, maka dialah perosaknya".

6. Dari mana datangnya Umar Al-Khattab? Khalid Al-Walid? Ikrimah? Amru bin Al-A's dan lain-lain nama besar kalau tidak dari kancah Syirik dan jahiliah. Dakwah,doa dan harapan baik membawa mereka ke puncak mulia.

Thursday, September 18, 2008

Skrin Maknawi (Kegembiraan Sejati)

Pada suatu hari saya duduk di hadapan sebuah tingkap di penjara Eskisehir. Tingkap tersebut mengadap ke arah sebuah sekolah menengah bagi murid-murid perempuan. Beberapa orang murid kelihatan bergelak ketawa dan bermain-main dalam keadaan sungguh gembira. Sebaik saja saya melihat mereka berada dalam keadaan demikian, sekonyong-konyong pada pandangan saya, mereka bertukar menjadi bidadari[1] neraka jahannam yang sedang berada di taman dunia ini. Kerana secara tiba-tiba saya ternampak keadaan mereka pada masa akan datang iaitu selepas 50 tahun. Gelak tawa dan kegembiraan mereka bertukar menjadi gambaran-gambaran tangisan yang memerit dan amat mendukacitakan.

Melalui keadaan ini, tersingkap kepada saya hakikat berikut:

Melalui skrin khayalan dan maknawi ini, saya melihat apa yang akan berlaku kepada mereka selepas 50 tahun. Saya melihat 50 orang pemudi yang sedang ketawa sekarang ini sedang diazab di dalam kubur. Jasad mereka telah hancur. Sementara 10 orang yang lain, masih hidup dalam usia yang telah lanjut lebih kurang 70 tahun. Wajah mereka yang berkedut hodoh menyebabkan orang lain meluat dan menjauhkan diri.

Saya tidak dapat menahan diri berhadapan dengan pemandangan ini, lalu saya menangis teresak-esak terhadap keadaan mereka. Kemudian saya ternampak pula fitnah di akhir zaman yang jauh lebih dahsyat yang terkena terhadap orang-orang yang beriman. Iaitu fitnah yang dibawa oleh golongan wanita menggiurkan yang lahir daripada ketiadaan sifat malu. Keberanian mereka telah merampas kekuatan semangat orang lelaki lalu si lelaki jatuh terkulai ke lembah kebodohan, sebagaimana rama-rama mencampakkan dirinya ke dalam api. Perempuan tersebut telah berjaya menjadikan si lelaki mengutamakan kenikmatan dunia fana’ yang hanya boleh dikecapi selama satu minit sahaja jika dibandingkan dengan tahun-tahun kenikmatan yang bakal diperolehi pada kehidupan yang kekal abadi nanti.

Saya sendiri telah merasakan kesan contoh kepada fitnah tersebut. Pada suatu hari, saya menyaksikan apa yang berlaku di dalam masyarakat. Setelah menyaksikannya, saya merasa amat kasihan kepada keadaan yang menimpa para pemuda. Saya berkata: “Aduhai kasihannya saya terhadap mereka! Bagaimana mereka boleh menyelamatkan diri mereka daripada api dan bujukan fitnah yang kuat ini?”

Ketika saya sedang menerawangkan khayalan dan tenggelam di dalam pemerhatian tersebut, tiba-tiba peribadi maknawi kepada penyala api fitnah, guru dan penyerunya menjelma di hadapan saya.

Saya berkata kepadanya dan kepada golongan mulhid yang menerima arahan dan pengajaran daripadanya:
“Wahai si celaka yang mengorbankan agamanya demi mengecap kenikmatan dengan bidadari neraka jahannam lantaran kebodohan dan kesesatan! Wahai si celaka yang rela dirinya kufur dan keluar daripada agama bagi mengenyangkan keinginan-keinginan nafsunya yang sentiasa menyuruh melakukan kejahatan! Wahai si celaka yang berpegang kuat dengan kehidupan dunia sehingga mengurangkan amal ibadatnya dan melarikan diri daripada kematian! Wahai si celaka yang langsung tidak suka jika disebut tentang kubur di hadapannya, bahkan lebih rela memalingkan mukanya ke arah riddah! Ketahuilah secara pasti:
Sesungguhnya dunia engkau yang besar ini, setiap saat yang berlalu sebelum ini, setiap saat yang akan mendatang, isi dunia keseluruhannya, masa lampau dan masa depan engkau, sesiapa saja yang telah mati dari kalangan anak bangsa engkau, mana-mana makhluk dan generasi yang akan datang, ummat yang terdahulu, manusia dan kabilah yang akan datang, semua mereka mati dan hilang. Mereka mati, bukannya hidup… dengan sebab kesesatan engkau.

Tetapi oleh kerana engkau terikat dari sudut akal dan kemanusiaan dengan kesemua dunia yang bergerak dan hidupan yang berjalan, kepala engkau sentiasa dihujani dengan kesakitan yang lahir daripada sentiasa memikirkan tentang akibat kesudahan orang-orang yang telah mati dan memenuhi dunia ini dahulunya. Jumlah mereka tidak terkira banyaknya. Semua itu berlaku lantaran kejahilan dan keingkaran engkau, sehingga keadaan ini mendukacitakan hati engkau jika engkau masih mempunyai perasaan, membakar ruh engkau jika engkau masih mempunyai ruh, dan menenggelamkan akal engkau ke dalam lautan kedukaan jika engkau masih mempunyai akal yang belum terpadam.

Ya! Jika keseronokan dan kelazatan dalam tempoh kurang daripada sejam yang terhasil melalui perbuatan bodoh dapat menyamai segala kedukacitaan dan kepiluan yang tidak berkesudahan itu, maka engkau dipersilakan untuk terus berada dalam keadaan demikian. Teruslah berada dalam kelalaian, kealpaan dan kegilaan engkau. Tetapi jika keadaan adalah sebaliknya, maka kembalilah engkau kepada kewarasan. Dengarlah dengan telinga yang peka akan ajaran-ajaran al-Quran. Gantilah kelazatan-kelazatan kecil, yang akan binasa dan tidak melebihi satu minit itu dengan kelazatan-kelazatan menyeluruh yang berterusan[2] agar engkau selamat daripada neraka maknawi dan memasuki syurga maknawi di atas dunia ini juga serta mengecapi nikmat kebahagian hidup. Janganlah engkau berkata: “Saya akan meneruskan kehidupan saya seperti haiwan!” Kerana masa silam dan akan datang terhijab daripada dilihat oleh haiwan. Masa silam dan akan datang adalah ibarat perkara ghaib bagi mereka. Mereka telah diselamatkan oleh Allah yang maha bijaksana lagi maha penyayang daripada ditimpa kesakitan yang tidak bersempadan dengan menghijabkan alam ghaib daripada mereka. Hinggakan ayam yang dicipta untuk disembelih tidak merasa sakit dan dukacita kecuali ketika pisau melalui tengkuknya. Itupun rasa sakit tersebut dengan segera akan hilang seterusnya ia terselamat daripada merasainya lagi. Sesungguhnya rahmat Allah tuhan yang maha mencipta amat luas. Kasihan belas dan kasih sayangNya terhadap makhluk jelas kelihatan melalui penghijaban alam ghaib. Ia kelihatan dengan lebih jelas lagi pada binatang-binatang yang tidak berdosa.

Dari sini, anda tidak boleh selama-lamanya untuk bernikmat-nikmat dengan sesuatu yang tidak dibenarkan oleh syarak sebagaimana dilakukan oleh haiwan, apatah lagi jika nikmat tersebut jauh ribuan kali ganda lebih rendah daripada apa yang dilakukan oleh haiwan. Ini adalah kerana akal anda mempunyai perasaan dan melihat apa yang ghaib di sisi haiwan. Akal anda akan merasa sakit dan dukacita. Anda tidak akan memperoleh kerehatan sempurna sebagaimana dirasai oleh haiwan yang dihijab sama sekali daripada melihat perkara ghaib di hadapannya.
Kemudian segala paksi kebanggaan dan kemuliaan anda seperti persaudaraan, penghormatan, kasih sayang dan lain-lain sifat terpuji seumpamanya akan terjadi dalam bentuk yang dibuat-buat, dipaksa-paksa, sementara sahaja, palsu, lemah dan tidak menyeluruh kerana ia hanya terbatas dalam tempoh waktu yang amat singkat, seperti dalam masa satu jam sahaja daripada suatu zaman yang tidak berkesudahan. Ia juga hanya terbatas pada suatu tempat sempit umpama satu jari sahaja daripada satu kawasan padang pasir yang amat luas. Oleh itu, kemanusiaan anda, bahkan idelisme serta kesempurnaan anda menjadi kecil dan kerdil, bahkan mungkin akan terus hilang sama sekali, tidak dapat dikesan lagi.

Tetapi persaudaraan ahli iman dan penghormatan sesetengah daripada mereka terhadap sesetengah yang lain serta kasih sayang yang mengikat di antara mereka, akan sentiasa meninggi dan meningkat dengan peningkatan iman itu sendiri.

Dengan itu, kemanusiaan seseorang yang beriman dan kesempurnaannya jika dinisbahkan kepada dirinya akan menjadi besar dan hebat, kerana sifat-sifat tersebut menjadi besar dan meluas ke ufuk masa lepas dan dimensi masa akan datang tanpa terbatas dan tersisih pada tempat dan masa yang terhad sahaja.

Tetapi sebab kejayaan dan ketinggian anda dalam perkara-perkara keduniaan, puncanya adalah disebabkan oleh keadaan anda yang amat sama dengan si Yahudi saudagar emas gila yang membayar harga yang mahal untuk membeli kepingan kaca yang disangkanya ketulan emas. Anda juga begitu. Anda mengerahkan segala usaha yang sepatutnya anda kerahkan untuk kehidupan abadi yang maha luas di akhrat nanti, tetapi anda mengerahkannya demi kenikmatan dalam waktu yang amat pendek dan terhad sahaja. Maka tidak peliklah jika anda mendapat kejayaan dalam ruang yang amat sempit itu, kerana anda memperuntukkan segala kesungguhan, kesukaan dan keinginan untuk membalas dendam yang membuak-buak yang hanya melazatkan anda dalam tempoh setahun sahaja misalnya, dan anda memalingkan segala perasaan tersebut dalam tempoh beberapa minit sahaja, maka tidak peliklah jika anda kelihatan mendapat kedudukan yang lebih tinggi meskipun dalam tempoh yang sementara sahaja jika dibandingkan dengan kedudukan ahli iman. Oleh kerana akal, ruh, hati dan perasaan anda ditanggalkan daripada melaksanakan tugasnya yang asasi lagi mulia akibat tenggelam dan turut serta di dalam urusan-urusan jiwa yang sentiasa menyuruh ke arah keburukan dan menyahut keinginan hawa nafsunya yang jahat, maka tidak hairanlah jika anda kelihatan mengatasi orang-orang yang beriman di dunia ini. Tidak hairanlah jika anda kelihatan lebih bahagia daripada mereka dari sudut zahir, kerana akal, hati dan ruh anda telah terhempas ke lembah yang amat dalam, bahkan ia telah ditukar dan diubah sama sekali untuk berkhidmat kepada kehinaan hawa nafsu yang amat rendah kedudukannya.

Dari sini, tidak diragukan lagi bahawa anda mungkin beroleh kejayaan yang sementara sahaja, kerana nantinya anda akan beroleh api neraka jahannam, sedangkan orang-orang beriman yang dizalimi nantinya akan beroleh syurga yang kekal abadi.
(Suatu Isu Penting Yang Tiba-tiba Terlintas Di Fikiran)

[1]Ini adalah satu perbandingan yang halus, kerana pelajar-pelajar perempuan itu memang cantik dan menawan, cuma mereka mencampakkan diri mereka ke dalam neraka jahannam kerana mereka tidak berpegang teguh dengan perintah-perintah Allah swt. (Penterjemah - Ihsan Qasim al-Salihi)

[2]Ya! Dari sudut maknawi, sesungguhnya iman dapat memberikan rasa kelazatan dan kenikmatan syurga semasa kita berada di dunia ini lagi. Lihatlah salah satu faedah iman daripada ratusan faedah dan kelazatannya yang bercahaya:

Andaikan anda sekarang sedang berada di sisi seorang yang anda amat kasihi yang sedang menghadapi saat kematiannya. Betapa kegembiraan anda ketika anda melihat seorang doktor pakar seperti Luqman al-Hakim atau Khidr datang dan memeriksa orang tersebut. Setelah melakukan pemeriksaan, tiba-tiba si pesakit terselamat daripada genggaman kematian dan menjadi seorang yang sihat ceria. Ingatlah kedudukan anda ketika itu dan perhatikanlah betapa gembiranya anda ketika itu!

Begitu juga dengan iman. Ia membangkitkan kegembiraan pada diri anda sama dengan kegembiraan anda ketika melihat semua orang yang sudah meninggal dunia dan mempunyai hubungan dengan anda dihidup dan dibangkitkan kembali. Kerana jutaan orang yang telah meninggal dunia dan dikebumikan di perkuburan masa lampau itu adalah para kekasih anda. Cahaya iman membangkitkan mereka hidup kembali dan menyelamatkan mereka daripada kemusnahan, ketiadaan dan kematian abadi. Tiba-tiba mereka bangun dan berkata: “Kami tidaklah mati, dan kami tidak mati selama-lamanya.”

Dengan kelebihan iman dan pembangkitan semula mereka yang dikasihi itu, terjelmalah perasaan kegembiraan yang tidak berkesudahan menggantikan tempat kesakitan yang tidak terbatas hasil daripada perpisahan yang juga tidak terhad.
Ini adalah bandingan tentang kegembiraan dan kebahagiaan yang diberikan oleh iman di atas dunia ini. Ini menunjukkan bahawa biji benih keimanan yang hidup jika bertukar menjadi jasad dan bertangkai, ia pasti akan menyebabkan ahli iman merasai kelazatan dan keindahan syurga. (Penulis)

Seketika Bersama Al-Quran : Surah Yusuf dan beberapa iktibar

1. Ikatan Surah Yusuf dengan Surah sebelumnya (Hud) :
a. Dalam kontek paparan kisah-kisah nabi terdahulu.
b. Cabaran kebanyakan nabi-nabi terdahulu dari kaumnya, cabaran Yusuf datang dari abg-abgnya dan wanita.
c. Dua-dua surah dalam kumpulan Surah-surah Miin dan dimulai dgn alif lam ra.

2. Kisah Yusuf adalah kisah terbaik :
a. Terbaik kalau nak dibandingkan apa yang dibawa oleh Yahudi dan Nasrani.
b. Terbaik kerana kisahnya dipapar dari awal berterusan hingga akhir tidak seperti kisah nabi-nabi lain yang dipaparkan sebahagian-sebahagian di surah-surah yang berlainan.
c. Terbaik dari sudut susunan bahasa dan sasteranya.

3. Hasad adalah penyakit kronik yang tidak mengira mangsa, dan kehinaan adalah balasannya.

4. Sobrun Jamil ialah sabar yang penuh harapan kpd Allah taala tanpa mengadu kpd manusia.

5. Fitnah wanita besar kesannya.

6. Penjara sentiasa mendidik pejuang bermuhasabah dan mendekatkan diri dgn yang maha kuasa, dan tempat yang selamat dari fitnah yang lebih besar. sangat byk tokoh-tokoh yang kita dengar dan pelajari meninggalkan sumbangan besar kepada umat hasil jiwa yang merdeka dengan raga yang terpenjara.

7. Sikap pemaaf Nabi Yusuf a.s yang tidak mengungkit sangat patut di contohi oleh pendaei-pendaei hari ini.

banyak lagi iktibar yang boleh dipelajari dari tadabbur surah ini, semoga Allah taala menjadikan kita golongan yang membaca dan mengambil iktibar, amin.

Menu Rohani Ramadhan

8.30 pagi Pendaftaran
8.45 Taklimat / pengenalan / ice breaking
9.00 Solat taubat
Solat hajat
Solat tasbih
Solat Dhuha
10.30 Zikrullah
10.45 Ceramah Ramadan
11.45 Kuiz Ramadan
12.15 Penutup

Wednesday, September 17, 2008

Mencari Bahagia


Rasulullah berkata yang bermaksud, "Bukanlah kekayaan itu dengan banyaknya harta benda tetapi kekayaan sebenar ialah kaya hati"


(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Kerja Yang diberkati

Beberapa syarat yang patut dipenuhi bagi mendapat kerja yang berkat:
  • beriman dan dapat merasakan kebesaran Ilahi
  • memahami dan memanfaatkan sunatullah
  • kekuatan badan agar kita mampu melakukan sesuatu
  • kekuatan akal untuk mengembangkan ilmu dan teknologi
  • kekuatan hati agar kita memiliki moral dan senantiasa beretika
  • kekuatan hidup agar kita mampu menyesuaikan diri dengan persekitaran
  • bersedia menghadapi segala cabaran

Seketika Bersama Al-Quran : Persiapan Rohani untuk Menerima Al-Quran

Persiapan dan perancangan untuk menurunkan Al-Quran adalah persiapan Azali, bersama dengan keazalian Al-Quran itu sendiri.

Nabi junjungan kita s.a.w telah memencilkan diri di gua hirak selama beberapa ketika, ada banyak riwayat menyebut tentang tempohnya antaranya: 2 tahun, 1 tahun 1/2, setahun, 6 bln, 4 bln dan lain-lain.

Itulah tahap persiapan jiwa dan rohani seorang Nabi s.a.w, untuk menerima kalamullah yang dimulai dengan hanya 5 ayat dari surah Al.A'laq.

Kemudiannya diwujudkan pula bulan Ramadan agar jiwa menjadi bersih, dekat dengan Pencipta, jiwa dan raga telah bersedia untuk menjiwai ayat-ayat yang bakal dibacakan.

Pilihan 17 Ramadan sebagai permulaan penurunan Al-Quran adalah pilihan yang sangat baik, kerana sudah 17 hari manusia lalui tempoh berpuasa yang pastinya menyuci sedikit demi sedikit noda-noda yang menggelapkan hati.

10 hari pertama dicurahkan rahmat, rasa kasih manusia terhadap ibadah, sayang dan senang dgn bulan ibadah, jiwa makin dekat penciptanya, makin jauh dgn kelalaian kealpaan, dan dengan bertambahnya hari berpuasa makin bertambahlah nur iman di jiwa-jiwa insani ini.

Masuk hari yang ke 11, pengampunan demi pengampunan dianugerahkan, rohani-rohani yang gelap kian digilap, sedikit demi sedekit, dari sinar menjadi gemerlap, talian ruh semakin jelas antara abdun dan khalik, iman mengukuh, selama 6 hari digilap, hati abdun sudah siap menerima kalamullah, maka ia pun diturun pada hari ke 17nya.

Inilah hakikat yang ditafsirkan pada ayat : "Tidak boleh menyentuhnya kecuali golongan yang suci sahaja" Al-Waqiah : 79. Nya pada kalimah menyentuh"nya" itu yang dimaksudkan ialah hati, kerana surah ini Makkiah belum wujud lagi ketikaitu mashaf.

Laluan inilah yang dicapai oleh abdun munib, menjejak maqaman mahmuda sehingga menjiwai bait-bait kalammullah, hati menjadi luluh dan sayat bila berbicara dgn Khalik. Sabda Nabi s.a.w " Barangsiapa yang ingin berkomunikasi dgn Allah maka bacalah Al-Quran".

Lebuhraya yang dilalui sama, namun tak semua yang sampai ke destinasi dengan penuh bermakna, jiwa mendidih dgn iman dan ketaqwaan.

Sama-samalah kita bersiap sedia utk 10 yang terakhir bagi mengecapi Itqun minan Nar di samping merebut Lailatul Qadar.

Ya Allah ya Tuhan kami yang sangat pemurah dengan pengampunan, sangat suka mengampuni hamba-hamba, maka ampunilah dgn sebaik-baik pengampunan..Amin ya rabbal A'lamin.

Bagaimana Menyelamatkan Akhirat

Suatu dialog yang berlaku dengan beberapa orang pemuda yang sentiasa bergelut dengan bujukan-bujukan hawa nafsu, namun kewarasan mereka masih belum hilang.)

Beberapa orang pemuda telah memohon agar Rasa’il al-Nur menghulurkan bantuan kepada mereka. Mereka berkata:

Bagaimana kami boleh menyelamatkan akhirat kami pada zaman ini yang dipenuhi dengan pelbagai fitnah yang menggiurkan, tarikan hawa nafsu yang mempesonakan dan penipuan hiburan yang menyeronokkan?

Lalu saya menjawab dengan nama keperibadian maknawi yang dimiliki oleh Rasa’il al-Nur dengan berkata:

Kubur terpampang di hadapan semua orang! Tiada siapa boleh mengingkarinya. Setiap orang daripada kita pasti akan memasukinya. Terdapat hanya tiga jalan untuk memasukinya, tiada yang keempat:

Jalan pertama: Jalan ini akan membawa orang-orang yang beriman merasakan kubur sebagai sebuah pintu yang terbuka terhadap taman-taman yang indah dan dunia yang luas, lebih baik dan lebih indah daripada dunia ini.

Jalan kedua: Jalan ini akan membawa orang yang tenggelam di dalam kesesatan walaupun mereka beriman dengan akhirat merasakan bahawa kubur adalah pintu penjara yang kekal. Mereka diperlakukan sebagaimana kepercayaan mereka dan sebagaimana pandangan mereka terhadap kewujudan dan kehidupan di atas muka dunia dahulu. Mereka akan diasingkan daripada semua para kekasih mereka dan dikurung bersendirian kerana mereka tidak beramal sebagaimana iktikad dan pegangan mereka.

Jalan ketiga: Melalui jalan ini, mereka yang tidak beriman dengan akhirat iaitu mereka yang sesat akan diheret. Ketika itu, mereka mendapati kubur menjadi pintu yang menghabis dan mengakhiri riwayat mereka sepenuhnya. Kubur pada pandangannya merupakan tali gantung yang menamatkan riwayatnya dan riwayat mereka yang dikasihinya. Ini adalah balasan kepada keingkarannya terhadap hari akhirat.

Kedua-dua hakikat ini adalah suatu yang diketahui secara badihi, tidak perlu kepada dalil dan bukti, kerana ia boleh disaksikan dengan mata kepala.

Ajal tidak diketahui oleh kita kerana dilindungi oleh dinding alam ghaib. Kematian pula mungkin mendatangi kita pada bila-bila masa sahaja tanpa membezakan antara yang tua dengan yang muda… Tidak syak lagi manusia lemah yang melihat permasalahan yang menggerunkan ini berlaku di hadapan matanya pada setiap ketika, maka sudah pasti dia akan sentiasa berusaha untuk melakukan apa sahaja yang boleh menyelamatkannya daripada hukuman mati tersebut. Dia juga akan berusaha untuk mencari apa sahaja jalan yang boleh menukar pintu kuburnya daripada kegelapan pekat kepada cahaya bersinar yang membawanya kepada dunia abadi dan taman-taman yang menakjubkan di alam cahaya dan kebahagiaan berkekalan… Tidak diragukan lagi, ini adalah permasalahan utama manusia, bahkan ia adalah permasalahan yang lebih utama dan lebih besar daripada seluruh isi dunia ini.

Kejelasan hakikat ini, iaitu hakikat kematian dan alam kubur melalui tiga jalan yang telah dinyatakan di atas telah dikhabarkan oleh 124 ribu orang-orang yang benar percakapannya iaitu para nabi yang mulia, yang memikul panji-panji kebenaran yang merupakan mukjizat mereka yang jelas nyata… Hakikat ini juga telah dikhabarkan oleh 124 juta pada wali yang salih. Mereka membenarkan apa yang dikhabarkan oleh para Nabi yang mulia. Mereka turut menyaksikan kebenaran hakikat tersebut melalui kasyaf, zauq dan syuhud… Kemudian hakikat ini turut dikhabarkan oleh bilangan yang tidak terhingga dari kalangan ulama yang muhaqqiqin. Mereka juga turut membukti benarkan apa yang dikhabarkan oleh para Nabi dan para wali itu dengan dalil-dalil akli yang mencapai tahap ilmu al-yaqin,[1] sehingga mencapai tahap keyakinan 99%.

Semua mereka memperakui bahawa untuk menyelamatkan diri daripada hukuman ‘ketiadaan abadi’ dan untuk menyelamatkan diri daripada diletakkan dalam tahanan bersendirian serta menukar kematian kepada kebahagiaan abadi hanyalah boleh berlaku dengan beriman kepada Allah dan mentaatiNya sahaja. Tiada lagi cara selain itu.

Ya! Jika seseorang melalui satu jalan tanpa menghiraukan amaran yang diberikan oleh orang lain tentang bahaya yang wujud pada jalan tersebut, meskipun risikonya hanya satu peratus sahaja, sudah pasti kebimbangan dan kegelisahan yang dialaminya kerana menggambarkan bahaya yang bakal menimpa itu sudah cukup memutuskan keinginannya terhadap makanan?
Maka bagaimana pula keadaannya terhadap perkhabaran yang dibawa oleh ratusan ribu orang yang benar percakapannya seratus peratus! Mereka semua bersepakat mengatakan bahawa kesesatan dan keingkaran akan menolak manusia menuju ke arah tali gantung dan penjara kubur yang terasing dan berkekalan, sebagaimana ia jelas terpampang di hadapan kamu semua. Mereka juga mengatakan bahawa iman dan ibadat dengan keyakinan seratus peratus sudah cukup boleh digunakan untuk menghilangkan kayu tali gantung dan mengunci pintu penjara perkuburan. Ia juga boleh mengubah kubur menjadi satu pintu yang terbuka mengadap ke arah istana-istana yang dihiasai dengan kebahagiaan yang berkekalan serta dipenuhi khazanah yang tidak pernah berkurangan… Perlu dinyatakan di sini, di samping mereka membawa perkhabaran tersebut, mereka juga telah menunjukkan tanda-tanda dan kesan-kesannya.

Sekarang saya ingin bertanya kepada kamu:

Apakah pendirian manusia yang tidak bernasib baik terutamanya seorang muslim terhadap masalah yang besar ini? Adakah seluruh kekuasaan yang ada di dunia ini di samping segala kelazatan dan kenikmatan yang ada padanya, mampu menghilangkan kecelaruan dan kebimbangan manusia yang sedang menunggu gilirannya pada setiap saat untuk masuk ke dalam kubur, jika dia adalah seorang yang tidak mempunyai iman dan amal ibadat?
Di samping itu, proses penuaan, penyakit dan bala bencana, serta kematian yang berlaku di sana sini, semuanya melahirkan rasa amat dukacita di dalam hati setiap manusia dan memberikan amaran kepadanya tentang kesudahan yang pasti akan dihadapinya. Sudah pasti di dalam hati orang-orang yang sesat, bodoh dan bersifat kegilaan itu akan bergejolak api maknawi yang mengazabkan mereka sehingga walaupun mereka sedang menikmati kesukaan dan kelazatan duniawi. Tetapi hanya kealpaan sahaja yang menghalang mereka daripada merasai azab yang pedih itu.

Ahli iman dan ketaatan melihat kubur yang terpampang di hadapan mereka sebagai satu pintu yang menuju kepada taman-taman bahagia dan kenikmatan yang berkekalan. Kekuasaan ilahi mengurniakan kepada mereka satu paspot yang membolehkan mereka memperoleh suatu khazanah yang tidak akan binasa lantaran penyaksian keimanan yang mereka lakukan. Oleh itu, setiap orang daripada mereka akan merasai kelazatan mendalam yang sebenar, serta kesegaran ruh yang membugar ketika menunggu seruan yang memanggilnya: “Marilah… Ambillah kad anda ini!” Kesegaran ruh tersebut jika boleh bertukar dalam bentuk yang berjisim nescaya ia akan menjadi seumpama taman maknawi yang khusus buat si mukmin tersebut, sebagaimana sesuatu biji benih boleh bertukar dan terbentuk menjadi sepohon pokok yang mempunyai daunan yang menghijau.

Jika inilah hakikatnya, maka sesiapa yang meninggalkan kenikmatan rohani yang kudus itu hanya kerana ingin mengecap suatu kelazatan sementara yang tidak dibenarkan, bahkan dipenuhi dengan pelbagai kesakitan (seperti ingin memakan madu yang beracun) berdasarkan dorongan kegilaan kemudaan dan kebodohannya, maka sudah pasti dia akan tenggelam ke dalam lembah yang lebih hina daripada lembah haiwan… Bahkan kedudukannya tidak sama dengan kedudukan golongan mulhid juga, kerana mungkin orang yang mengingkari Rasul kita Nabi Muhammad saw dari kalangan mereka, mungkin beriman dengan rasul-rasul yang lain.
Jika dia tidak beriman dengan keseluruhan rasul-rasul, mungkin dia beriman dengan kewujudan Allah swt. Jika dia tidak beriman dengan Allah swt, mungkin dia mempunyai sifat-sifat terpuji yang akan memperlihatkan kepadanya sifat-sifat kesempurnaan Allah. Sedangkan seseorang muslim tidak mengenal para rasul yang mulia, tidak beriman dengan tuhannya, tidak mengetahui sifat-sifat kesempurnaan manusia melainkan melalui perantaraan Nabi Muhammad saw. Oleh itu, sesiapa yang tidak beradab dengan pengajarannya yang berkat, bahkan melepaskan diri daripada perintahnya, maka dia tidak mengiktiraf para nabi yang lain, bahkan dia mengingkari Allah swt itu sendiri. Dia juga tidak mampu untuk memelihara asas-asas kesempurnaan manusia di dalam ruhnya, kerana asas-asas agama dan tarbiah yang dibawa oleh Nabi Muhammad saw adalah amat dalam dan tegap serta sempurna sehingga sesiapa yang meninggal dan mengabaikannya tidak mungkin dapat mendakap sebarang cahaya dan sebarang kesempurnaan. Bahkan dia dihukum agar dihumbankan ke lembah kehinaan dan kerendahan mutlak. Kerana baginda saw adalah penyudah kepada seluruh para Nabi, penghulu segala mursalin dan pemimpin manusia seluruhnya dalam segala hakikat kebenaran. Bahkan baginda juga adalah paksi kebanggaan dan kemuliaan, sebagaimana dibuktikan dengan pembuktian yang indah sepanjang 14 kurun.

Wahai mereka yang terfitnah oleh keindahan kehidupan dan kenikmatan di dunia! Wahai mereka yang mengerahkan seluruh tenaga bagi menjamin kehidupan dan masa depan dalam keadaan kebimbangan! Wahai mereka yang merana!

Jika kamu ingin mengecap kenikmatan dan kelazatan dunia melalui kebahagiaan dan kerehatan yang terdapat di dalamnya, maka kelazatan dan kenikmatan yang diizinkan oleh syarak sudah mencukupi bagi kamu. Ia sudah memadai bagi memenuhi segala tuntutan dan keinginan kamu serta menenangkan hawa nafsu kamu. Daripada penjelasan yang saya berikan sebelum ini, anda tahu bahawa setiap kelazatan dan kenikmatan yang terkeluar daripada batasan kebenaran syarak mengandungi seribu satu macam kesakitan, jika kita dapat menayangkan peristiwa dan kejadian yang akan berlaku selepas 50 tahun misalnya di atas skrin layar, sebagaimana kita menayangkan peristiwa dan kejadian yang telah berlaku. Jika ini dapat dilakukan, nescaya mereka yang alpa yang bertindak bodoh pasti akan menangis dengan tangisan yang pahit terhadap apa yang menggembirakan mereka sekarang.

Sesiapa yang menginginkan kegembiraan dan kesukaan yang suci serta berterusan di dunia dan akhirat, dia hendaklah menurut segala pentarbiahan keimanan yang dilakukan oleh Nabi Muhammad saw.

[1]Antara dalil tersebut ialah Rasa’il al-Nur itu sendiri sebagaimana disaksikan oleh seluruh mereka. (al-Nursi)

Program Imarah Ramadhan

Tarikh: 21 September 2008 (Ahad)
Tempat: Masjid An-Naim
Sasaran: Pelajar 10 hingga 15 tahun

Program Imarah Ramadhan

Tarikh: 21 September 2008 (Ahad)
Tempat: Masjid AsSamadiah, Pelabuhan Klang
Sasaran: Lelaki dan wanita dewasa

Program Imarah Ramadhan

Tarikh: 21 September 2008 (Ahad)
Tempat: Surau Darul Makmur, Meru
Sasaran: Wanita dewasa

Program Imarah Ramadhan

Tarikh: 21 September 2008 (Ahad)
Tempat: SK Bukit Kemandol
Sasaran: Pelajar 7 hingga 12 tahun

Program Imarah Ramadhan

Tarikh: 21 September 2008 (Ahad)
Tempat: Surau al-Falah
Sasaran: Pelajar 10 hingga 15 tahun

Program Imarah Ramadhan

Tarikh: 20 September 2008 (Sabtu)
Tempat: Masjid Wira Damai, Gombak
Masa: 8.30 pagi hingga 12.30 tengahari
Sasaran: Lelaki dan wanita dewasa

Tuesday, September 16, 2008

Bekerja Kerana Allah


Pada Suatu hari, Nabi Muhamad sedang berehat bersama sahabat-sahabatnya. Mereka melihat seorang pemuda sedang bekerja dengan penuh semangat. Lalu seorang sahabat berkata, " Kasihan pemuda itu. Alangkah baiknya usia muda dan kekuatannya digunakan untuk jalan Allah."


Mendengar kata-kata tersebut, lantas Nabi Muhammad berkata,


"Jangan kamu semua berkata demikian, sebab orang itu kalau keluarnya dari rumah untuk bekerja bagi mengusahakan kehidupan anaknya yang masih kecil, maka dia telah berusaha fisabilillah. Jika dia berusaha untuk dirinya, tidak sampai meminta-minta kepada orang lain, itupun fisabilillah. Tetapi, kalau dia bekerja untuk menunjuk-nunjuk apa-apa yang dimilikinya atau untuk bermegah-megah, maka itulah fisabilis syaitan atau kerana mengikut jalan syaitan."


(Riwayat At-Tabrani)

Panduan Para Pemuda Bagi Keselamatan Pada Hari Pembalasan : Kalimah Pertama

‘Bismillah’ adalah punca segala kebaikan dan permulaan bagi setiap urusan yang berkepentingan. Oleh itu, kita juga memulakan dengannya.

Wahai jiwaku! Ketahuilah bahawa di samping kalimah baik yang penuh berkat ini adalah syiar Islam, ia juga adalah zikir yang dilakukan oleh segenap makhluk yang dilakukan melalui lisan halnya.[1]

Jika anda ingin mengetahui tentang sejauhmana kekuatan agung dan keberkatan luas tidak terhingga yang terdapat pada ‘bismillah’, maka dengarlah kisah pendek berikut:

Seseorang Arab Badwi yang berpindah randah ke sana ke mari di padang pasir, sudah pasti bernaung di bawah seorang ketua kabilah dan berada di bawah perlindungannya. Ini dilakukannya agar dia selamat daripada ancaman orang-orang jahat, serta dapat menyempurnakan segala pekerjaan dan memperoleh segala keperluannya. Jika ini tidak dilakukannya, maka dia akan berhadapan dengan musuh yang ramai sedangkan dia sentiasa tertekan untuk menyempurnakan segala keperluannya.

Demikianlah… Secara kebetulan terdapat dua orang lelaki melakukan perjalanan yang serupa. Salah seorang daripada mereka adalah seorang yang tawaduk, sedangkan seorang lagi adalah seorang yang sombong. Si tawaduk bernaung di bawah seorang ketua kabilah, sedangkan si sombong enggan untuk berbuat demikian. Kedua-duanya memulakan perjalanan di padang pasir… Setiap kali si tawaduk singgah di mana-mana perkhemahan, maka dia akan disambut dengan penuh penghormatan dan penghargaan kerana nama ketua kabilah yang dibawanya. Jika dia berjumpa dengan perompakpun dia berkata: “Aku berjalan di bawah perlindungan ketua si anu bin si anu…”, lalu si perompak beredar ketakutan. Sedangkan si sombong tadi menempoh pelbagai musibah dan kecelakaan yang tidak dapat dibayangkan kesengsaraannya. Sepanjang perjalanan, dia berada di dalam ketakutan dan kegerunan yang berterusan. Dia sebenarnya telah menghina dan merendahkan dirinya sendiri.

Wahai jiwaku yang sombong! Ketahuilah bahawa engkau adalah si badwi yang sedang berjalan itu. Dunia yang luas ini adalah padang pasir tersebut. Kefakiran (keberhajatan) dan kelemahan engkau tidak terbatas. Sebagaimana musuh engkau juga tidak berkesudahan. Oleh kerana inilah keadaannya, maka perbesarkanlah nama pemilik hakiki dan pemerintah abadi bagi padang pasir ini agar engkau terselamat daripada kehinaan meminta-minta di hadapan seluruh para makhluk, juga agar engkau terlepas daripada kehinaan ketakutan berhadapan dengan segala kejadian tidak diingini.

[1]Lisan hal ialah sesuatu yang dilihat melalui tindakan yang dilakukan oleh seseorang atau sesuatu. Sementara lisan maqal pula ialah sesuatu yang diperolehi melalui perkataan seseorang.

Ya! Kalimah baik iaitu ‘bismillah’ ini merupakan satu khazanah agung yang tidak binasa selama-lamanya. Kerana dengannya keberhajatan anda berhubung dengan suatu rahmat yang luas dan mutlak, lebih luas daripada seluruh makhluk. Kelemahan anda bergantung dengan qudrat agung yang menguasai segala kewujudan daripada sekecil zarah sehingga sebesar galaksi, sehingga kelemahan dan keberhajatan anda menjadi pemberi syafaat yang diterima di sisi tuhan yang maha berkuasa, maha penyayang dan mempunyai kebesaran.

Seseorang yang bergerak, diam, berpagi dan berpetang dengan kalimah ini (bismillah), adalah sama seperti seorang yang menjadi tentera. Dia melakukan segala perkara dengan nama negara. Dia tidak takut kepada seorang manusiapun, kerana dia berbicara di atas nama undang-undang dan nama negara. Dia melaksanakan segala tugas dengan tegas serta tenang dalam segala perkara.

Pada permulaan lagi kami telah menyebutkan bahawa segala makhluk yang wujud ini sentiasa berzikir dengan lisan hal masing-masing menyebut nama Allah. Ia berkata ‘bismillah’… Betulkah demikian?

Ya! Jika anda melihat seseorang individu menghalau kumpulan manusia yang ramai ke satu kawasan yang luas dengan memaksa mereka melakukan pelbagai jenis pekerjaan, maka anda tentu pasti dan yakin bahawa individu tersebut tidak melambangkan dirinya sendiri, tidak menggunakan namanya sendiri dan berdasarkan kekuatannya sendiri ketika dia menghalau kumpulan manusia tersebut, bahkan sebenarnya dia hanyalah seorang tentera yang bertindak di atas nama negara serta bersandarkan kepada kekuatan seorang pemerintah atau sultan.

Maka begitu juga dengan segala makhluk yang wujud ini. Mereka melaksanakan tugas mereka dengan nama Allah. Biji-biji benih yang amat seni memikul pokok-pokok yang amat besar dan berat dengan nama Allah. Iaitu setiap pokok berkata “bismillah” dan tangannya dipenuhi dengan buah-buahan daripada khazanah rahmat ilahi lalu mempersembahkannya kepada kita… Setiap kebun berkata “bismillah” lalu ia menjadi umpama dapur bagi kudrat ilahi yang memasak dan meranumkan pelbagai jenis makanan yang lazat… Setiap haiwan yang mempunyai manfaat dan keberkatan seperti unta, kambing dan lembu juga sentiasa berkata “bismillah” lalu ia menjadi sumber susu enak yang melimpah ruah. Ia memberikan rezeki yang paling lembut dan bersih kepada kita… Batang setiap pohon dan rumput juga sentiasa berkata “bismillah” lalu ia membelah dan menembusi batu batan yang keras dengan rerambutnya yang halus bak sutera dengan nama Allah yang maha pemurah. Dengan itu, setiap perkara yang sukar menjadi amat mudah sekali!

Dahan-dahan yang berceracak di udara serta buahan-buahan yang dipikulnya, begitu juga dengan akar-akar yang bersimpang siur di dalam batu batan yang keras, serta bahan-bahan makanan yang disimpannya di dalam kegelapan tanah, begitu juga ketahanan dedaun hijau menanggung kepanasan dan kehangatan pancaran matahari, malah terus kekal dalam keadaan lembut dan segar… Semua ini dan lain-lain perkara lagi menjadi satu tamparan hebat terhadap gologan materialis penyembah sebab dan musabbab. Ia juga adalah pekikan yang berdengung ke dalam telinga mereka. Pekikan ini berkata kepada mereka: Kekerasan (batu-batan) dan kepanasan yang kamu bangga-banggakan itu tidak berfungsi dengan sendiri. Bahkan ia hanya menjalankan tugasnya berdasarkan arahan seorang pemerintah yang menjadikan urat-urat yang halus dan lembut itu seperti tongkat Nabi Musa yang boleh membelah batu batan dan menurut perintah firman Allah swt (al-Baqarah, ayat 60):

فَقُلْنَا اضْرِبْ بِعَصَاكَ الْحَجَرَ

Maksudnya: “…maka Kami berfirman: “Pukullah batu itu dengan tongkatmu…”
Ia juga menjadikan daun-daun yang lembut dan segar itu seperti anggota-anggota badan Nabi Ibrahim yang ketika menghadapi tamparan kepanasan api ia membaca (al-Anbiya’, ayat 69):

يَا نَارُ كُونِي بَرْدًا وَسَلاَمًا عَلَى إِبْرَاهِيمَ

Maksudnya: “Hai api, jadilah engkau sejuk serta selamat sejahtera kepada Ibrahim!”

Oleh kerana setiap benda yang wujud sentiasa berkata “bismillah” atau sesuatu yang semakna dengannya, lalu ia memberi dan mempersembahkan nikmat Allah kepada kita dengan nama Allah, maka kita juga hendaklah sentiasa berkata “bismillah”. Ketika memberi kita hendaklah berkata “bismillah”. Begitu juga ketika mengambil kita hendaklah berkata “bismillah”. Kita juga hendaklah menolak pemberian yang dihulurkan oleh orang-orang yang lalai ketika mereka menghulurkan sesuatu kepada kita tanpa ‘bismillah’.

Satu soalan: Kita sentiasa memperlihatkan penghormatan dan penghargaan kepada sesiapa sahaja yang menjadi sebab kepada nikmat yang kita perolehi. Apakah agaknya pula yang dituntut oleh Allah yang menjadi tuan dan pemilik sebenar kepada segala nikmat tersebut?

Jawapan: Sesungguhnya tuhan pemberi nikmat yang sebenar itu menuntut daripada kita tiga perkara sebagai harga bayaran kepada nikmat-nikmat yang berharga itu:

Pertama: Zikir. Kedua: Syukur. Ketiga: Fikir.

Bismillah yang diucapkan pada permulaan penggunaan nikmat tersebut adalah zikir. Al-Hamdulillah yang disebutkan setelah sesuatu nikmat itu digunakan pula adalah syukur. Manakala fikir pula terletak di antara kedua-duanya. Iaitu pemerhatian yang dilakukan terhadap nikmat yang indah ini. Iaitu mengetahui bahawa ia adalah mukjizat qudrat Allah yang maha esa serta menjadi tempat pergantungan seluruh makhluk dan merupakan hadiah rahmatNya yang maha luas. Pemerhatian ini adalah fikir.

Jika seseorang yang mencium tapak kaki tentera tadi yang hanya menjadi khadam untuk menyampaikan hadiah seorang sultan telah melakukan satu kebodohan dan kedunguan yang memalukan… maka bagaimana pula dengan seseorang yang hanya memuji sebab-sebab fizikal yang nampaknya kelihatan membawa segala nikmat kepadanya, lalu dia menyayangi dan mengasihinya sahaja, bukan menyanyangi dan mengasihi pemberi nikmat yang hakiki… bukankah individu yang kedua ini telah melakukan satu kebodohan dan kedunguan yang lebih dahsyat ribuan kali ganda jika dibandingkan dengan individu yang pertama tadi?

Wahai jiwaku! Jika engkau tidak mahu menjadi seperti si bodoh dan si dungu di atas, maka berilah dengan nama Allah… ambillah dengan nama Allah… mulakan dengan nama Allah… beramallah dengan nama Allah.

Wassalam.

Seketika bersama Al-Quran : Surah Hud menjadikan rambut Rasulullah Beruban

Hadis Riwayat Imam Tarmizi, Al-Hakim, Al-Baihaqi dan lain-lain dari Ibnu Abbas r.a : Telah Berkata Abu bakar " Wahai Rasulallah kamu telah beruban! Nabi Menjawab:" Surah Hud, Al-Waqeah, Al-Mursalat, Amma yatasaalun, Izas Syamsu kuwwirat telah menjadikan rambutku beruban".

Dalam Hadis yang lain Ibnu Abbas r.a menyebut dalam menafsirkan ayat 112 surah Hud, bahawa tidak pernah diturunkan ayat kepada Rasulullah seberat ayat 112 ini, oleh itu Nabi bersabda Surah Hud ...telah menjadikan rambutku beruban.

Ayat 112 surah Hud yang Mafhumnya : "Beristiqamahlah kamu sepertimana yang diperintahkan, begitu juga sesiapa yang bersamamu yang telah bertaubat (berada dijalan benar, hendaklah mereka beristiqamah juga seperti kamu) dan janganlah kamu melampaui batas-batas (yang telah diperuntukkan) Sesungguhnya Dia maha melihat apa saja yang dilakukan kamu".

Antara sebab-sebab lain yang menjadikan Nabi s.a.w begitu gerun berhadapan dgn surah-surah tersebut :

1. Gambaran hari kiamat yang sangat dahsyat dan jelas diperlihatkan di dalamnya seolah-olah beliau melihat dengan matanya sendiri.

2. Sangat bimbang tidak dapat melaksanakan tugas-tugasnya seperti yang diminta oleh Allah swt.

3. Cerita-cerita nabi terdahulu yang banyak dipaparkan di dalam surah Hud begitu sadis dan mencabar dalam melaksanakan risalah Allah swt. apakah beliau mampu mengikuti jejak-jejak mereka?

4. Teguran-teguran lansung dari langit kepada tindak tanduk beliau dalam menyampaikan risalahnya menyebabkan beliau sering bermuhasabah dan bimbang teralpa dengan tugas-tugasnya.

5. Bimbangkan umatnya tergelincir dari landasan yang benar, dan gagal merasai dahsyatnya hari kiamat yang akan menyebabkan mereka berlengah-lengah dari bertaubat dan kembali ke jalan Allah.

Program Imarah Ramadhan

Tarikh: 19 September 2008 (Jumaat)
Tempat: Bank Islam, Kuala Lumpur
Sasaran: Lelaki dan wanita dewasa

Monday, September 15, 2008

Program Imarah Ramadhan

Tarikh: 18 September 2008 (Rabu)
Tempat: SRAI batu Belah
Sasaran: Pelajar 12 tahun

Sunday, September 14, 2008

Program Imarah Ramadhan

Tarikh: 17 September 2008 (Rabu)
Masa: 8.30 pagi hingga 12.30 tengahari
Tempat: Sek Projek SS 11
Sasaran: Pelajar 13 hingga 17 tahun

Program Imarah Ramadhan

Tarikh: 17 September 2008 (Rabu)
Masa: 8.30 pagi hingga 12.30 tengahari
Tempat: Sek Men Teknik Klang
Sasaran: Pelajar lelaki 16 Tahun

Seketika Bersama Al-Quran : Cabaran Dakwah di dalam Surah Yunus

Sebelum menyentuh topik ini, elok juga kita balik sejenak ke Surah Taubah di mana Saidina Umar r.a telah menulis surat kepada semua pemimpin di bawah jajahannya menyeru mereka mempelajari surah Taubah : "Pelajarilah kamu Surah Taubah dan ajarilah wanita-wanita kamu dengan Surah Nur". Hadis Riwayat Imam Baihaqi.

Cabaran Dakwah di dalam Surah Yunus :

Bagi yang meneliti dalam tadabbur surah-surah ini mereka akan menemui banyak pengajaran yang boleh dijadikan pegangan dalam mengharungi liku-liku perjalanan dakwah, antaranya :

1. Perjalanan dakwah ini berliku, terkadang cabarannya diluar dugaan kita, hinggakan ada yang meminta agar didatangkan dgn Quran lain selain dari yang ini atau pun tukarkan ayat-ayatnya mengikut kemahuan mereka.

2. Banyak daei yang gugur diperjalanan bila diuji dengan kesenangan atau kesempitan.

3. Terkadang berhadapan dgn golongan yang sangat setia berpegang dgn pegangan datuk nenek mereka sehingga mengenepikan penggunaan akal untuk menilai baik buruknya pegangan yg dipercayainya.

4. Daei harus sedar bahawa mereka hanyalah penyampai kebenaran, hidayah di tangan tuhan, maka iringi seruan mereka dgn memohon hidayah dari Allah swt.

5. Gunakan keindahan ciptaan alam ini dan kehebatan seni rekaannya sebagai hujjah kebesaran Maha Pencipta yang patut disembah.

6. Pelajari dan teladanilah kisah-kisah perjuangan nabi-nabi terdahulu dalam menyampaikan seruan ilahi, bagaimana kegigihan, hujah-hujah, kesabaran dan keyakinan mereka terhadap Allah yang memberi tugas berat ini kpd mereka.

7. Daei perlu cekal dan penuh harapan. Ujian kalau dah makin berat bererti sudah sampai kepada breaking point, bersabarlah agar mendapat kejayaan.

8. Kaum Yunus sangat bernasib baik kerana bertaubat sebelum datangnya azab, dan mendapat manfaat dgn iman mereka.

9. Daei harus sentiasa membaiki hubungannya dengan Allah dan hubungannya dengan Manusia, inilah kekuatan sebenarnya menjalankan gerakan dakwah.

itulah antaranya yg terlintas ketika ini, semoga yang baik dari Allah, yg tak baik dari diri yang naif ini, maka patut dibaiki dan disempadani. wassalam.

Saturday, September 13, 2008

Program Imarah Ramadhan

Tarikh: 16 September 2008 (Selasa)
Masa: 8.30 pagi hingga 12.30 tengahari
Tempat: Surau Hospital Tengku Ampuan Rahimah
Sasaran: Wanita dan Lelaki dewasa

Seketika Bersama Al-Quran : Kebenaran yang tidak perlu berselindung

Ayat 12 Surah Hud, mafhumnya :

" Janganlah kamu (ya Muhammad) meninggalkan beberapa ayat yang diturunkan kepada kamu (kerana takut menimbulkan kemarahan kaum Musyrikin) dan kamu merasa tidak selesa untuk menyampaikannya (takut ditolak atau dicemuh) dan takut kepada rungutan mereka : kenapalah tidak diturunkan harta benda kpdnya, atau ditemani Malaikat. Kamu hanyalah pemberi peringatan (bukan penurut kemahuan mereka) Dan Allah taala maha memerhati setiap gerak geri mereka."


Moralnya :

1. Banyak perkara berkaitan agama yang tidak patut kita berselindung atas alasan menjaga persahabatan dgn penganut agama lain.

2. Agama kita adalah jelas, kepad Allah sahaja yang berhak kita takuti. ayat 13 surah Taubat mengukuhkan lagi hujjah ini, mafhumnya " Apakah kamu takut pada golongan musyrikin? Allahlah yang berhak kamu takuti jika benar-benar kamu beriman".

3. Strategi politik yang digunapakai hari ini membuatkan banyak dasar-dasar Islam diketepikan, malah dijual dengan harga yang murah.

4. Persoalannya sampai bila harus agama kita yang bertolak ansur dengan agama mereka?

5. Ayat-ayat berdakwah dgn penuh hikmah dan berlemah lembut yang ada bukan bererti menyembunyikan ayat-ayat yang kita sangka sensitif pada penganut agama lain.

Thursday, September 11, 2008

Seketika Bersama Al-Quran : Surah Taubah Pemisah antara Islam dan Syirik


Surah Taubah yang juga dikenali dgn surah Baraah(Allah taala menafikan kaitannya dgn golongan Musyrikin) atau surah Saif (Pedang).

Surah Taubah adalah antara surah terakhir diturunkan kpd Rasulullah s.a.w iaitu sekitar setahun lebih atau 2 tahun sebelum kewafatan baginda alaihissalam.

Permulaan surah yang tidak dimulai dgn basmalah sudah membawa erti keadaan tegang dan serius yg ingin diputuskan oleh Allah taala, bahawa sudah sampai tahapnya Tauhid dan Syirik dipisahkan.

Hubungan golongan Tauhid dan Syirik telah melalui beberapa peringkat demi peringkat sehingga sampai kepada tahap akhir yang perlu kepada kata putus yang tiada toleran lagi setelah itu.

Pengalaman hidup bersama, percubaan untuk saling bertoleransi dlm segala aspek menemui jln buntu, kerana perbezaan akidah adalah berasal dari akar umbi, dari basic inilah lahir perbezaan ketara dlm semua aspek perhubungan harian. yang akhirnya Allah taala meletakkan had2 tertentu dalam hubungan antara golongan muslimin dan musyrikin.

Surah ini juga membongkar apa yg tersirat dihati golongan munafiqin, sehinggakan sahabat2 yg membaca surah ini akan meleleh air mata mereka takut terbetik dihati mereka sikap golongan munafiq ini.

Surah Taubah adalah surah muhasabah diri yang sangat baik utk ditadabbur dan diperhalusi maksud2nya agar nawaitu perjuangan tidak tergelincir, hati dan suluk terkawal, dan menginsafi diri yang disertai dgn memperbaiki ke arah yang lebih diridhoi Allah swt.

Ya Allah yg maha agung! bantulah kami memperbaiki diri kami, keluarga kami, gerakan kami dan laluan kami menuju ridho mu ya Allah..

Amin ya robbal alamin.

Peranan dan Cabaran Malaysia sebagai Halal Hub






Persidangan Meja Bulat -Isu Semasa: Cabaran Islam & Melayu





Persidangan Meja Bulat
Isu Semasa: Cabaran Islam & Melayu
Kompleks Belia dan Kebudayaan Negeri Selangor
25 Syaaban 1429H / 27 Ogos 2008


1) Dr Hassan Baharom
a) Ketuanan Melayu dalam Perlembagaan
i) Perkara 153 (Hak Keistimewaan Orang Melayu) dijaja merata-rata. Sebenarnya ketuanan Melayu bukan sekadar Perkara 153 sahaja.
ii) Tokoh-tokoh Melayu yang ada sekarang dilihat tidak dapat menakrifkan dengan konkrit apabila membicarakan tentang ketuanan Melayu.
iii) Sesetengah pihak mengganggap ketuanan Melayu adalah bagaimana kedudukan Sultan-sultan Melayu yang dianggap sebagai tonggak yang menentukan kepentingan agama Islam terbela.
(1) Ketika ini kuasa Sultan-sultan telah tidak dihormati oleh orang Melayu sendiri, oleh itu bagaimana bukan Melayu hendak hormat Sultan-sultan. Sebagai contoh, isu pelantikan beberapa Menteri Besar baru-baru ini jelas menunjukkan calon pilihan Sultan tidak diikhtiraf oleh beberapa pihak.
(2) Ketuanan ialah apabila kita mendominasi sesuatu.
iv) Dalam hal undang-undang, di kalangan orang Melayu sendiri bertelagah, sebagai contoh apabila Kerajaan Kelantan ingin melaksanakan undang-undang syariah, ada orang Melayu sendiri yang hendak bawa isu ini ke muka pengadilan sekiranya ianya dilaksanakan dnegan alasan ianya bertentangan dengan perlembagaan persekutuan.
v) Ketika ini Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan tidak dapat dipertahankan dan dipelihara dengan baik.
vi) Penjajah telah mengaturkan bahawa Perlembagaan Negara tidak boleh digugat atau dirobah sejak mulanya merdeka termasuk dimasukkan dengan lain-lain undang-undang. Namun, hal ini disanggah oleh Prof. Ahmad Ibrahim yang mengatakan bahawa Undang-undang Islam (Syariah) itu telah datang jauh lebih awal sebelum tergubalnya Perlembagaan Persekutuan itu sendiri.

2) Dr Ahmad Zaki Abdul Latif
a) Peranan Dakwah dalam Konteks Membina Tamadun Melayu
i) Istilah Tamadun Melayu dianggap lebih sesuai daripada istilah ada Ketuanan Melayu.
ii) Jangan terlalu sangat melihat ke belakang iatu sejarah tanpa melangkah ke hadapan iaitu merancang sesuatu yang lebih baik untuk masa hadapan.
iii) Perjuangan merupakan suatu jihad.
iv) Sharif Muhammad Al-Baghdadi merupakan tokoh pendakwah dari Timur Tengah (Baghdad – Yaman) ke Terengganu, berjaya menjatuhkan kerajaan Majapahit yang beragama Hindu ketika itu dan menyebarkan Islam di Tanah Melayu.
(1) Golongan ini dapat mengekalkan kekuatan mereka adalah kerana mereka mengamalkan pendekatan tasawwuf. Ianya dimiliki oleh semua ulama-ulama di nusantara.
v) Ketika ini masyarakat kita terlalu terdedah dengan budaya fitnah.
vi) Umat Islam mestilah tingkatkan aspek kesufian. Sufi tidak boleh disudutkan kepada amalan zikir semata-mata tetapi ahli-ahli sufi hendaklah diusahakan sebagai menjadi penggerak dan penentu kepada perubahan.
(1) Contohnya, di zaman kegemilangan Islam di Aceh, ahli-ahli sufi menjadi penasihat kepada Sultan.
(2) Juga, mereka yang terlibat dengan amalan tarikat ini rapat dengan hulubalang, ketua-ketua kampung dan masyarakat.
vii) Peranan bahasa sangat penting dalam perkembangan sesuatu bangsa dan masyarakat. Suatu ketika dahulu, bahasa jawi menjadi kekuatan kepada pejuang-pejuang agama atau para dai. Malangnya, kekuatan bangsa ini makin malap setelah Bahasa Jawi tersebut dihapuskan oleh Khir Johari dalam arus perdana bahasa keilmuan di negara kita.
viii) Dari segi keilmuan, turutan pengajian bidang ilmu yang betul itu adalah penting untuk dituruti. Sebagai contoh, pengajian Kitab Riadhus Solihin dimulakan dahulu, kemudian pengajian Kitab Hikam.
ix) Namun, malangnya ramai orang Melayu Islam menjadi sesat dengan pendekatan tarikat yang songsang.
3) Dr Pisol Maidin
a) Kelangsungan Ciri Melayu dan Islam dalam Kebudayaan Malaysia (lihat kertas kerja yang diedarkan)
i) Dasar Kebudayaan Kebangsaan (DKK) dianggap gagal mencapai objektifnya.
(1) Penerimaannya dikalangan orang Cina dan India sangat minimal. Mereka menolaknya kerana mereka mengatakan bahawa mereka tidak diajak berbincang sama ketika dasar tersebut digubal.
ii) Kebudayaan ketika ini banyak menitikberatkan kepada aspek hiburan semata-mata tetapi tidak mencerminkan hal yang sebenar budaya masyarakat Malaysia.
iii) Cadangan:
(1) Komunikasi dua hala atau dialog antara masyarakat Islam dan bukan Islam di Malaysia mestilah diaktifkan.
(2) Ciri dan sifat Islam itu sendiri mesti ditekankan lebih daripada ciri Melayu.
(3) Idea-idea dan konsep-konsep yang melibatkan pelbagai kaum di Malaysia mestilah dipakagekan dan dijenamakan semula.
4) Shahruddin Badaruddin
a) Konsep Kepimpinan Tradisi Melayu (rujuk e-pembentangan)
i) Kualiti budaya dan ideologi – berasaskan kepada mitos, contohnya budaya bersumpah.
ii) Permatang Pauh (Pilihanraya 26 Ogos 2008)
(1) Anwar – calon berkarisma yang cuba mengejar kepimpinan.
(2) Arif Shah – calon yang ditampilkan dengan strategi mengurangkan majoriti.
(3) Hanafi - calon yang mengambil peluang untuk mempromosikan kumpulan.
iii) Strategi yang ditampilkan
(1) PKR – memastikan Anwar akan mendapat kelebihan dari segi majoriti. Banyak membuat pre-emptive measure.
(2) BN - diskredit Anwar dalam banyak perkara khususnya isu moral.
iv) Program anjuran Unit Kerohanian PKR banyak membantu!
(1) Pengerusi – Dr Badrul Amin Bahron
(2) Timbalan Pengerusi – YB Hj. Ahmad Kasim
(3) Setiausaha - Yahaya Shaari
v) Tema Anwar
(1) Pakatan Rakyat Menuju Putrajaya; Makkal Sakhti.
(2) Harapan Baru untuk Malaysia
vi) Kelebihan Arif Shah
(1) Kebolehan boleh berbahasa Mandarin dan Hokkien.
(2) Seorang ahli politik yang mesra rakyat dan ringan tulang.
vii) Isu yang dibawa oleh Anwar
(1) Isu nasional
(a) kenaikan harga minyak
(b) rasuah
(c) kronisme
(d) kepimpinan BN yang lemah
(e) keadilan untuk semua kaum
(f) kebebasan institusi kerajaan
(2) Keperluan ke Putrajaya
viii) Jentera pilihanraya PKR dianggap lebih advance daripada BN.
(1) Banyak bukti yang menunjukkan bahawa apabila BN tiada jentera kerajaan, dalam kes Permatang Pauh mereka tiada jentera Kerajaan Negeri, maka BN akan runtuh.
ix) Retorik Anwar
(1) Apabila belanjawan yang akan dibentangkan pada 29 Ogos 2008 kelak, beliau akan duduk depan PM dalam Parlimen.
(2) Mengecam kepincangan dalam kepimpinan Abdullah Badawi dan Najib.
x) Strategi Anwar bila ditemuduga:
(1) kerja lebih keras.
(2) psy-war oleh SB kepada penyokong-penyokong Anwar: Anwar akan dapat lebih dari 18,000 undi – too good to be true.
(3) tumpukan kepada ceramah kelompok.
(4) strategi ziarah rumah ke rumah – going to the grassroot (diaktifkan oleh Muslimat PAS dan Wanita PKR).
xi) Kempen yang efektif oleh PAS sangat membantu kejayaan Anwar khususnya dengan turunnya Ustaz Nik Aziz ke Permatang Pauh.
xii) Siapa menang?
(1) Anwar Ibrahim
(2) Pakatan Rakyat
(3) Ustaz Nik Aziz Nik Mat
xiii) Siapa kalah?
(1) UMNO
(2) BN machinery
(3) Abdullah Ahmad Badawi
(4) Mohd Najib Abdul Razak
(5) Saiful Bukhari Azlan
xiv) Bantuan YAB Lim Guan Eng
(1) Beri cuti sempena pilihanraya.
(2) Pengundi muda tak ramai keluar mengundi menjelang puluk 12.00 tengahari kerana bekerja di kilang-kilang. Lim Guan Eng telefon sendiri kepada pengusaha-pengusaha kilang meminta beri kebenaran kepada pekerja mereka untuk keluar mengundi.

Dicatat oleh

SHIRAJUDDIN SIRAT
shirajuddin@hotmail.com

Wednesday, September 10, 2008

Lakukan yang terbaik


Nabi Muhammad s.a.w bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah suka apabila seseorang daripada kamu melakukan sesuatu kerja, maka dia melakukanya dengan penuh ketelitian dan dengan sebaik-baiknya."



(Riwayat al-Baihaqi)

Program Imarah Ramadhan

Tarikh: 14 September 2008 (Ahad)
Masa: 9.00 pagi hingga 1.30 petang
Tempat: Madrasah Taufik Islami
Sasaran: Pelajar 13 hingga 17 tahun

Program Imarah Ramadhan

Tarikh: 13 September 2008 (Sabtu)
Masa: 10.00 pagi
Tempat: Kolej Pusrawi
Sasaran: Pelajar 18 tahun

Program Imarah Ramadhan

Tarikh: 12 September 2008 (Jumaat)
Masa: 8.30 pagi -12.30 tengahari
Tempat: Sek Keb Sri Damansara
Sasaran: Pelajar darjah 3 hingga 6

Seketika bersama Al-Quran : Pandangan kebanyakan tak semestinya benar.

Ayat 116 Surah Al-An 'am : firman Allah yang mafhumnya :

"Dan Jikalau kamu (Wahai Muhammad) mengikuti pandangan kebanyakkan orang di muka bumi ini pasti mereka akan menyesatkan kamu dari jalan Allah, Kerana mereka hanya mengikut perasangka, dan mereka hanya berada dalam kesesatan"

Kenyataannya :

1. Biarpun ramai di parlimen yang bersetuju meluluskan lesen judi dan perkara-perkara yang bertentangan dgn kehendak agama Islam, namun ia tak semestinya benar dan betul.

2. Biarpun ramai yg hadir ke konsert Avril Lavigne, namun ia bukanlah ukuran untuk mengatakan ia halal dan baik.

3. Hukum Allah seperti Hudud adalah benar dan sangat manfaat kepada umat manusia walaupun di tolak oleh kebanyakkan mereka.

Tuesday, September 9, 2008

Program agihan bubur lambuk Hospital TAR Klang.

Tarikh : 14 September 2008 .( Ahad )

Masa : 3.00 petang -4.30 ( berkumpul lobi kecemasan )

Anggaran pesakit 500 orang.
Harap dapat turun beramai-ramai, Lelaki dan perempuan.
Program Unit Hal Ehwal Islam MAIS dengan ABIM.

Catatan Seorang Daei Muda

Pada 6 hb September 2008, ABIM Selangor telah diundang oleh Sekolah Menengah Teknik Shah Alam untuk menjayakan Program Ihya’ Nahar Ramadhan. Jemputan dibuat oleh Ustazah Rosmawati iaitu kepada isteri kepada Sdr. Tajul Ariffin, seorang sahabat lama dan aktivis Abim semasa belajar di Mesir dahulu. Sekarang beliau bertugas di TV9.


Program tersebut disasarkan kepada pelajar-pelajar perempuan tingkatan empat dan lima. Ana mulakan bicara dengan melontarkan soalan kepada semua peserta - apa tujuan kita berpuasa? seorang pelajar menjawab “untuk memohon pertolongan Allah." Ya! Memang benar! Saya mengambil cerita yang dirakamkan dalam surah Maryam ayat 26.


Ketika Mariam, ibu Nabi Isa menghadapi ujian fitnah- ia dituduh berzina dan perempuan jahat, lantaran mengandungkan anak tanpa seorang suami, lantas ia mengadu kepada Allah Taa’la memohon agar diberikan petunjuk dan hidayah kepadanya. Ia berpuasa dan tidak akan berkata-kata dengan manusia. Dalam doanya ketika berpuasa ia terus menerus memohon agar diberi pertolongan oleh Allah SWT.


Permohonannya itu telah diperkenankan oleh Allah dengan berlaku satu mukjizat ke atas Nabi Isa Alaihi Salam yang boleh berbicara dengan orang ramai semasa masih dalam buaian lagi. Subhanallah ! Maha suci Allah!


Justeru itu, ulama meyarankan kepada kita sebelum anak-anak kita menghadapi peperiksaan agar ibu-ibu, bapa-bapa dan pelajar-pelajar disarankan supaya berpuasa.


Puasa itu merupakan salah satu menu santapan roh malakut. Makin banyak santapan untuk rohani makin ringanlah roh malakut. Roh malakut yang ringan memudahkan perjalanan doa untuk mustajab Allah Taa’la.


Alhamdulillah program berjalan lancar dan mendapat sambutan dan reaksi positif dari semua peserta.


Dalam sesi soal jawab, seorang pelajar bertanya; "bagaimana kalau seseorang itu berpuasa, tapi tidak menutup aurat?"


Saya menyimpulkan soalan beliau tadi sama seperti soalan-soalan yang lazimnya ditanya oleh remaja-remaja seusianya. "Saya tak pakai tudung, tapi saya solat, saya rasa saya lagi ok dari kawan saya yang pakai tudung, dia orang lagi tak malu, pakai tudung ! dating ! coupling ! jalan pegang tangan, tu macam mana ?" Saudara/ri pembaca ada jawabannya?


Untuk menjawab soalan ini saya kongsikan pandangan seorang ulama’ besar tersohor Proff. Dr.Yusuf Al Qardhawi yang telah menjelaskan dalam bukunya Al halal Bayyinun (yang halal itu jelas) wal haram bayyinun (yang haram itu jelas). Urusan pemberian dan agihan pahala, syurga dan neraka semuanya di tangan Allah, manusia tidak layak menentukan seseorang itu masuk syurga atau masuk neraka.



Dari sudut ilmu Fekah, berpuasa itu mendapat pahala, solat itu dapat pahala, tidak menutup aurat dia berdosa, melakukan maksiat dia berdosa! Orang yang macam nilah dikatakan dalam hadis Rasulullah sebagai golongan yang Muflis di akhirat kelak!



Bagaimana boleh jadi muflis? Ia jadi muflis apabila ditimbang pada mizan, dosanya lebih banyak, asyik kena cover dengan pahala kebaikannya, cover punya cover tak cukup-cukup juga. Itu akhirnya bankrup, muflis!


Itu tandanya keimanan kita kepada Allah belum sempurna . Mengambil sebahagian dari ajaran agama dan meninggalkan sebahagian dari ajaran agama. Mengambil hanya yang dirasakan sesuai sahaja dan mengabaikan yang tidak disukai nafsunya sendiri. Allah memerintahkan kepada kita supaya amalkanlah ajaran Islam itu secara menyeluruh.


Sebagai pendakwah kita kena husnu dzan (positive thinking). Kita mesti bersangka baik dahulu dengan orang lain, berita yang diterima, kejadian yang berlaku, peristiwa dan pengalaman yang kita lalui kerana penyakit wabak yang berbahaya dan mudah berjangkit ialah Penyakit SNIOP-Sense negative In Other Person.


Menginsafi bahawa masih banyak ruang kosong dan lompang dalam minda dan jiwa remaja kita tentang al Khalik, atau barangkali seruan dakwah dan ajakan kepada kebaikan yang dianjurkan tidak sampai pada mereka. Lantaran itu dalam banyak pertemuan dengan sebahagian besar remaja, bahkan orang dewasa yang ditemui, kebanyakan mereka tidak melakukan suruhan Allah bukan kerana enggan, tetapi disebabkan oleh kejahilan .


Solat misalnya, ramai yang tidak tahu melakukannya apa lagi melakukannya dengan sempurna dan khusyu’. Akhirnya, ia balik kepada kita yang tahu dan telah diberi laluan dahulu oleh Allah SWT untuk menjadi ‘elemen sedar’ yang sewajarnya menjadi pendorong umat.


Sudahkah kita melaksanakan pesan Rasulullah "sampaikan dariku walau sepotong ayat?" Kalau sudah, alhamdulillah. Kalau belum, marilah kita mewakafkan sedikit masa hayat kita untuk memperkasa agenda dakwah dan tarbiyyah umat. Mudah-mudahan yang belum melaksanakan perintah Allah akan mendapat Hidayah dariNya. Kita sendiri pun kerana untung nasib kita di sana belum tentu lagi. Anda sudah berazam?Wallahua’lam.