Kuliah Ruhaniyyah Kitab al-Hikam, Siri ke-23
(Syarah Syeikh Said Hawa)
Disampaikan oleh: Ustaz Fahmi Zam Zam
Anjung Rahmat, 15 Zulkaedah 1428H / 25 November 2007
A. Hikmah ke-57
Jangan meninggalkan zikir, kerana hati engkau belum selalu ingat kepada Allah di waktu berzikir, sebab kelalaianmu terhadap Allah ketika tidak berzikir lebih berbahaya daripada kelalaianmu terhadap Allah ketika kamu berzikir.
Ulasan
1. Walaupun pada mulanya hati tak ikut berzikir, paling tidak lidah kamu berzikir. Lama-lama, insya-Allah hati kamu akan turut serta berzikir.
2. Allah s.w.t. menyifatkan manusia itu bersangatan jahil dan bersangatan zalim, namun Allah s.w.t. tetap memberikan kepada manusia bersesuaian dengan usahanya.
3. Pun begitu, setiap manusia itu mempunyai potensi untuk menjadi baik selepas dia jahil dan zalim.
4. Malaikat bertanya kenapa Allah s.w.t. menjadikan manusia ini sebagai khalifah di bumi kerana manusia bakal membawa kerosakan kepada bumi?
a) Malaikat bertanya bukan kerana komplen tetapi bertanya kerana tidak tahu.
b) Maka Allah s.w.t. bertanya sesuatu kepada kedua-duanya iaitu Malikat dan Adam a.s. Adam a.s. boleh menjawabnya dengan betul manakala malaikat tidak tahu jawapannya. Sebab itulah, manusia ini dianggap sebagai berpotensi kerana boleh berfikir, belajar dan berusaha untuk memakmurkan bumi.
c) Oleh itu, manusia ini boleh diproses untuk berubah daripada keadaan tidak baik kepada keadaan yang lebih baik.
5. Zikir Darajat vs Zikir Hasanat.
a) Zikir Hasanat boleh dipelajari dan diamalkan oleh orang-orang yang biasa.
b) Zikir Darajat boleh dipelajari dengan belajar daripada guru yang murshid. Selepas itu, barulah kita dapat menikmati `lemak manisnya’ berzikir.
6. 4 tingkatan/darjat zikir:
a) Zikir orang yang lalai/lupa – Zikir Alghafilin, namun orang ini boleh dididik. Contohnya, mulut/lidahnya berzikir tetapi hatinya melelong.
i) Hati/Jantung merupakan `sarang’ syaitan, sebab itu kena zikir lebih kuat, `hentakkan’ kepada hati/jantung.
b) Zikir dengan `jaga’, iaitu faham makna tetapi masih belum khusyuk.
i) Seperti orang yang membaca Al-Quran dalam solat tetapi bacaannya ditumpukan kepada tajwid.
ii) Seolah-olah orang yang baru dapat lesen memandu, jangan diajak bersembang kerana dia nak tumpukan kepada pemanduan.
c) Zikir Darajat iaitu dengan hati, sebagai contoh lidah digulung ke lelangit dan zikirnya ditumpukan oleh hatinya.
d) Zikir yang khusyuk iaitu antara seseorang dengan Allah s.w.t. Contohnya, dia berkata bahawa aku ini adalah fana’, diri aku ini seolah-olah tiada, yang ada dan wujud kekal abadi adalah Allah s.w.t.
B. Hikmah ke-58
Sebahagian daripada tanda matinya hati, iaitu jika tidak merasa sedih (susah) kerana tertinggalnya suatu amal perbautan kebajikan (kewajipan), juga tidak menyesal jika terjadi berbuat suatu pelanggaran dosa.
1) Tiada ada rasa sedih terhadap sebarang yang luput tanpa merasa sedikitpun kerugian atau menyesal, contohnya:
a) tidak sensitif atau menyesal tertinggal solat berjamaah.
b) Tidak menyesal apabila tidak dapat membuat kebaikan walaupun ada ruang untuk membuat kebaikan tersebut.
c) Tidak dapat memanfaatkan tawaran hebat di bulan Ramadhan, berbanding dengan seseorang merasa sesal apabila tidak sempat membeli tawaran jualan murah di kompleks membeli-belah.
d) Tidak menyesal apabila terlanjur membuat maksiat, seolah-olah kain yang putih tertompok sedikit demi sedikit dengan titik-titik hitam, lama-lama semua kain itu menjadi hitam hinggakan apabila dakwat yang hitam tertumpah ke atas kain itu tiada apa-apa kesannya.
2) Zikir boleh menyucikan hati seseorang bahkan boleh meningkatkan darjatnya di sisi Allah s.w.t.
3) Orang-orang yang keras hatinya, makan kena kerap menghadiri majlis-majlsi zikir agar zikirnya itu boleh menyucikan `karat’ di dalam hatinya.
4) Dengan zikir, hati seseorang menjadi tenang dan mendorongnya teringin sangat membuat ketaatan dan menghindarkan segala kejahatan/kemaksiatan.
5) Jangan sampai kita hilang murakabah dalam hati kita, iaitu hilang keimanan dalam hati. Berlakunya hal ini iaitu ketika seseorang itu membuat maksiat.
C. Hikmah ke-59
Jangan sampai terasa bagimu kebesaran sesuatu dosa itu, hingga dapat merintangi engkau dari husnudhan (baik sangka) terhadap Allah s.w.t, sebab siapa yang benar-benar mengenal Allah s.w.t., maka akan menganggap kecil dosanya itu di samping keluasan dan kemurahan Allah s.w.t.
1) Maka sesungguhnya Allah s.w.t. akan memberikan rezeki kepada semua orang.
2) Jangan berdukacita dengan sesuatu musibah kerana mungkin sesuatu yang berlaku kita sangka tidak baik, sebenarnya lebih baik untuk kita.
3) Sebagai contoh, selepas berkahwin, ada rezeki-rezeki lain yang tidak terduga yang kita terima.
a) Kalau dulu tak mampu pakai motorsikal, selepas kahwin boleh pinjam motorsikal bapa mertua.
b) Selepas berkahwin, kita bukan sahaja ada adik-beradik sendiri, malah bertambah pula adik-beradik ipar.
4) Yakinlah dengan rezeki daripada Allah s.w.t.
5) Setiasalah bersangka baik dengan Allah s.w.t., jangan jadi pesimis.
6) Kadangkala kita minta banyak kepada Allah s.w.t. tetapi Allah bagi sedikit sahaja. Ketidakdapatan yang banyak seperti yang diminta, tetapi dapat sedikit, itulah sebenarnya Allah s.w.t. `memberi’ kepada kita. Hal ini disebabkan kerana dengan dapat sedikit sahaja daripada apa yang kita minta, sesungguhnya kita lebih banyak beribadat kepada Allah s.w.t. Kalau diberi banyak seperti yang kita minta, mungkin kita akan bertambah lalai. Itulah hikmah berlakunya sesuatu kejadian
7) Oleh itu apabila kita bermakrifat kepada Allah s.w.t., maka kita redha dengan segala apa yang kita terima.
8) Janganlah melakukan krisis keimanan kepada Allah s.w.t.
9) Walau bagaimana besarnya dosa seseorang, jangan berputus asa daripada ampunan dan rahmat Allah s.w.t.
D. Hikmah ke-60
Tidak ada dosa kecil jika Allah s.w.t. menghadapi engkau dengan keadilanNya, dan tidak bererti dosa besar jika Allah s.w.t. menghadapimu dengan kurnianya.
1) Sekiranya berbuat dosa, cepat-cepatlah bertaubat kepada Allah s.w.t. dengan benar-benar memahami konsep taubat nasuha.
Soal-jawab
Soalan: Sesiapa yang layak masuk syurga, maka dia tidak ada dosa?
Respon: Kita layak masuk syurga adalah dengan rahmat Allah s.w.t. Tidak layak kita masuk syurga hanya dengan amalan kita semata-mata. Fahami konsep taubat. Berdosa dengan Allah, maka (i) menyesali kesalahan kita; (ii)meninggalkan terus perbuatan tersebut; (iii) berazam untuk tidak mengulangi kesalahan tersebut. Sekiranya berdosa dengan manusia lain, maka ada satu tambahan lagi iaitu hendaklah menghadapi orang tersebut dan minta halal daripadanya. Sebagai contoh, jika seseorang mencuri basikal seseorang lain. Sekiranya selepas kita bertaubat, kita hendak memulangkan wang/nilai harga motorsikal tersebut kepadanya. Malangnya, umum maklum bahawa orang itu bengis orangnya dan sekiranya dia tahu siapa yang mencuri motorsikalnya, maka padahlah diterima. Oleh itu, pendekatan yang boleh dibuat, berusahalah mencari akaun bank orang itu, masukkan wang ke dalam akaunnya dan hantarkan slip bayaran tersebut kepadanya secara pos dan tuliskan, “Berikut adalah bayaran gantirugi daripada hamba Allah terhadap motorsikal yang dicuri dahulu!”
Respon: Selain bersuluk dengan guru yang murshid untuk majlis zikir, ada tak cara lain untuk berzikir?
Jawapan: Ya, ada. Imam Al-Ghazali dalam Ihya Ulumuddin (Bab Solat) ada menerangkan dalam bukunya 8 cara untuk mendekatkan diri seseorang kepada Allah s.w.t. Sekiranya kita tidak mengetahui akan sesuatu, maka hendaklah bersegera kita bertanya kepada orang yang tahu. Beri masa untuk kita menuntut ilmu Allah s.w.t. Juga boleh rujuk kitab Bimbingan Mukminin.
Dicatat oleh
SHIRAJUDDIN SIRAT
shirajuddin@hotmail.com
Wednesday, August 20, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment