Wednesday, August 13, 2008

Apa Ada Dengan Avril Lavigne ?

KONSERT AVRIL, PELANJUT FAHAM ARISTIPUS

Bulan kemerdekaan datang lagi. Bahang kehangatan sambutannnya kian terasa. Antara acara yang bakal diadakan adalah Pesta Konsert Avril lavigne untuk mampamerkan aksi-aksinya kepada rakyat Malaysia. Adakah perlu kita raikan sambutan hari kemerdekaan yang sangat bermakna ini dengan Konsert Avril ?

Konsert yang dijangka berlangsung pada 29 Ogos bertempat di Stadium Merdeka. Sungguh memalukan! Stadium Merdeka pada satu masa dahulu pernah menjadi saksi Bendera Union Jack diturunkan menandakan berakhirnya penjajahan Inggeris ke atas Tanah Melayu. Ya benar, kita mungkin sudah merdeka dari segi fizikalnya, tetapi hakikatnya mental dan minda kita masih terbelenggu dengan warisan dan budaya dan pemikiran Penjajah.

Jika konsert itu diteruskan juga ia merupakan satu penghinaan kepada pejuang-pejuang kemerdekaan tanah air, sedangkan Bulan kemerdekaan itu seharusnya dihayati dan dirasai bagaimana pengorbanan dan susah payah yang telah dilakukan oleh nenek moyang kita sebelum ini untuk menuntut kemerdekaan.

Penganjuran Konsert ini memberikan tanda jelas kepada kita kepada beberapa isu utama;

1. Patriotisme yang semakin lemah

Hari kebangsaan adalah suatu kesempatan untuk kita menggilap semangat patriotik, hubbul watan atau cintakan tanah air. Patriotisme adalah manifestasi rasa cinta dan tanggungjawab terhadap bangsa dan negara seperti yang disebut oleh Prof. Ismail Al Faruqi : “ Patriotisme adalah suatu yang positif dan digalakkan dalam Islam. Berbakti kepada bangsa dan berkhidmat kepada negara dengan jujur dan amanah merupakan satu kewajipan menurut Undang-undang Islam. Pengabaian atau pengkhianatan terhadap tanggungjawab tersebut dianggap sebagai kesalahan yang membawa hukuman duniawi dan ukhrawi”.

Muhammad Iqbal, seorang pemikir dan filosof yang ulung, juga mempunyai pandangan yang positif terhadap patroitisme. Beliau mengungkapkan : “ Patriotisme merupakan satu kebajikan yang benar-benar selaras dengan fitrah manusia dan mempunyai tempat di dalam moral manusia. Namun yang paling penting sebenarnya adalah keyakinan manusia, kebudayaanya dan tradisinya. Inilah hal-hal yang merupakan makna yang seharusnya dibawa dalam hidup dan mati kita, bukan sejengkal tanah dimana jiwa manusia kebetulan dihubungkan untuk sementara waktu.”

Bangsa yang berjiwa merdeka adalah bangsa yang sensitif dengan maruah dan martabatnya. Mereka tahu betapa mahalnya maruah dan martabat itu. Penganjuran konsert Avril merupakan manifestasi dari terhakisnya semangat patriotisme dan suburnya kembali penjajahan budaya yang membeliti minda dan pemikiran kita.

Sekadar catatan, pada pembukaan gilang gemilang Sukan Olimpik Beijing 2008, Presidennya Hu Jintao menyampaikan ucapan dalam bahasa ibundanya. Menyedari impak sukan Olimpik yang disaksikan oleh berbilion penduduk dunia itu, pastinya akan menampilkan kehebatan, kebanggaan, dan jati diri sesebuah bangsa kepada dunia. Ironisnya , dimanakah kedudukan bahasa dan budaya kita hari ini ?

Bangsa yang berjiwa merdeka adalah bangsa yang kaya dengan cita-cita dan daya usaha. Mereka tahu apa yang harus dikerjakan tanpa dikerah, tanpa diperintah. Mungkin kerana menyedari hakikat wujudnya jiwa hamba anak jajahan itu, Al marhum Dr Burhanuddin Al Helmi ketika mengobarkan semangat kebangsaan telah memberikan perhatian khusus kepada aspek pembinaan jiwa merdeka sebagaimana yang tersirat dalam ungkapan puitisnya, “ Di atas robohan Kota Melaka, kita dirikan jiwa Merdeka “. Sehubungan dengan itu kita seharusnya bersedia untuk membongkar dan melempar segala unsur-unsur jiwa hamba yang masih tersisa itu. Selayaknya jiwa hamba hanya merupakan pengabdian makhluk kepada khaliknya.

2. Budaya hedonisme melampau

Bagaikan tidak sah acara kemerdekaan tanpa sambutan konsert dan pesta-pestaan. Cuma kali ini Avril menjadi penyerinya. Entah dimana silapnya, erti kebudayaan nampaknya kian dangkal dan sempit. Seolah –olah acara kebudayaan yang terbayang ialah joget lambak, dikir barat dan seni hiburan lainnya. Memang hal-hal begitulah yang selalu mengisi acara majlis-majlis yang membawa nama kebudayaan. Walhal kebudayaan bukan cuma seni dan bukan sekadar hiburan. Ia adalah suatu yang lebih serius, dengan bidang cakupannya yang amat luas meliputi aspek falsafah, pemikiran, ilmu, kesenian, artifak dan aspek-aspek cara hidup lainnya.

Apa perlunya lagi kita mengadakan konsert dari barat itu sedangkan tanpa konsert itu pun Avril bersedia diakses melalui kecanggihan teknologi yang pelbagai! Apakah yang diharapkan dari penganjuran konsert seperti ini? Keuntungan ekonomi atas nama produk pelancongan ? Atau hanya untuk keseronokan semata-semata ? Inilah faham hedonisme yang menurut pengertian Kamus Dewan ialah pegangan atau pandangan hidup yang mementingkan keseronokan atau kesenangan hidup.

Menyoroti sejarah lalu , fahaman hedonisme didukung oleh Aristipus , salah seorang murid Socrates. Hal ini merujuk kepada pertanyaan Socrates kepada beliau tentang tujuan terakhir bagi kehidupan manusia atau apa yang terbaik untuk manusia. Aristipus kemudiannya menyatakan yang terbaik untuk manusia adalah kesenangan.

Idea ini kemudiannya dikembangkan oleh Epicurus dengan mengatakan tujuan hidup adalah untuk kesenangan dan kedamaian. G.E Moore dilihat sebagai tokoh kontemporari hedonisme. Beliau berkata : ” Konsep baik yang bertitik tolak kepada keseronokan dan tidak ada yang baik kecuali keseronokan dan hanya keseronokan sahaja yang menjadikan kebaikan sebagai satu matlamat.

Cukuplah kita meraikan sambutan Kemerdekaan dengan acara-acara hiburan. Pengisian merdeka masih gah tanpa sambutan pesta-pestaan mahupun konsert. Pengisian merdeka harus di renungi dan dihayati oleh setiap dari kita. Kita yang bakal mencorak dan mewarnakan masa depan negara kita. Cukuplah 50 tahun kita menyambut kemerdekaan dengan konsert !

Ada orang berkata, anak muda! Budaya popular kunjungannya hanya semusim, masa edannya akan berakhir bila sampai seruan taubat! Tapi apakah kita harus lupa bahawa generasi tua hari ini yang terdiri daripada kelompok penting pembuat dasar, pemimpin, orang yang diberi amanah dan tanggungjawab adalah cerminan dari budaya masa lalu, dari a-go-go, yankies, hippies, raggae, rock, punk, dan segala macam budaya popular. Maaf , bukan semua, tetapi tidak pula menafikannya.

Konsert Avril dan apa jua konsert yang sewaktu dengannya akan memberi makna yang signifikan terhadap budaya kita. Dalam era globalisasi , sudah tentu kita tidak terlepas dari unsur-unsur luar. Tidak bererti menolak konsert Avril ini bermakna kita menolak segala yang bersikap asing. Yang perlu ada ialah kemampuan kita untuk bersikap kritsis dan selektif dalam memilih yang mana serasi dan mana yang bertentangan dengan budaya kita.

Dalam hal ini Kementerian yang berkaitan, harus mengembangkan dan meluaskan lagi wawasan budaya dengan lebih jelas dan komprehensif. Negara kita tidak kurang mempunyai artis-artis, seniman- seniman, saterawan, budayawan yang berpotensi dan hebat. Mengapa tidak sahaja kita bentuk mereka mengikut acuan kita sendiri ?

Mudahan-Mudahan penat lelah mereka yang telah merumuskan dasar Kebudayaan Kebangsaan yang bercirikan kepribumian dan keIslaman itu akan punya makna dan harga yang setimpal. Negara kita adalah tanggungjawab kita.

Ini merupakan suara anak-anak muda pasca merdeka. Kami rindu dan ingin sekali mendengar suara-suara budayawan, seniman-seniman, cendiakawan, agamawan, mufti-mufti memberikan pandangan. Suara yang merentasi dan melewati sempadan politik, bahasa dan bangsa. Ini bukan soal ada apa dengan Avril Lavigne. Ini Soal ada apa dengan kita ?

No comments: