Kerajaan Islam pertama di Jawa Barat ini bermula dari abad ke-15. Ketika itu, Cirebon dikuasai oleh Pangeran Walangsungsang (Cakrabumi), Raja Pakuan Pajajaran. Baginda dianggap sebagai pengasas Kesultanan Cirebon. Namun, tokoh paling berperanan dalam menjadikan Cirebon sebuah kesultanan (kerajaan Islam) ialah Syarif Hidayatullah. Menurut Babad Cirebon, Syarif Hidayatullah juga dikenali sebagai Sunan Gunung Jati (1448-1570). Baginda juga mengasas Kesultanan Banten.
Kedudukannya di daerah pesisir menyebabkan Cirebon banyak berhubung dengan dunia luar, terutama melalui laluan perdagangan seperti China dan Arab. Hubungan ini tidak hanya mempengaruhi kehidupan masyarakatnya tetapi juga karya seni, sastera dan tradisi Islam yang berkembang pesat di wilayah ini pada abad ke-17 hingga ke-18. Pengaruh budaya luar boleh dilihat pada hiasan piring China dan Belanda yang banyak terdapat di dinding istana.
Keutuhan Kesultanan Cirebon hanya bertahan sehingga zaman Panembahan Ratu II yang bergelar Panembahan Giriliya, cicit Sunan Gunung Jati (1560-1662). Atas kehendak Panembahan Giriliya, kesultanan Cirebon dibahagi dua: Kesultanan Kasepuhan dan Kanoman. Kesultanan Kasepuhan dipimpin oleh Martawijaya (Panembahan Sepuh yang bergelar Syamsudin), manakala Kesultanan Kanoman dipimpin oleh Katrawijaya (Panembahan Anom yang bergelar Badruddin).
Perpecahan ini melemahkan Kesultanan Cirebon sehingga kedua-duanya menjadi wilayah naungan Belanda (1681). Walaupun tidak memiliki kuasa mentadbir, Kesultanan Cirebon tetap bertahan dan memelihara pelbagai tradisi peninggalan seni dan sastera Islam dengan baik.
No comments:
Post a Comment