Thursday, February 12, 2009

Hospital Gaza Serba Kekurangan

Sumber : Utusan Online http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0210&pub=utusan_malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_13.htm&arc=hive
Hospital Gaza serba kekurangan

RAFAH 9 Feb. - Dengan angka kecederaan akibat serangan Israel mencecah 5,000 orang, hospital- hospital di Gaza berhadapan dengan tugas rumit untuk memberikan rawatan kepada mangsa lebih-lebih lagi dalam keadaan peralatan yang serba kekurangan.

Ada antara peralatan itu sudah ketinggalan zaman dan banyak pula yang rosak dan tidak dapat dibaiki ekoran tiada alat ganti.

Semua ini memburukkan lagi keadaan hingga menyebabkan sebahagian mangsa terutama yang mengalami trauma dan kecederaan serius dihantar ke hospital-hospital di Mesir terutama di Al-Arish.

Namun tidak semua mangsa mendapat rawatan yang diperlukan kerana ada yang terpaksa menunggu ekoran kemudahan yang terhad.

Peralatan seperti mesin x-ray misalnya amat terhad hingga memaksa mangsa yang cedera beratur panjang sebelum boleh menjalani ujian x-ray.

Menurut sukarelawan Malaysia, Azlan Mohammad Sharif yang berada di Gaza selama seminggu bagi meninjau keperluan untuk bantuan di sana, terdapat ramai doktor di Gaza, tetapi mereka kekurangan peralatan untuk rawatan.

Akibatnya, rawatan yang diberikan kepada mangsa serangan Israel itu tidak sempurna dan bagi yang mengalami kecederaan kurang serius terpaksa menunggu lama.

Katanya, ia turut membabitkan peralatan asas seperti kerusi roda yang mana hampir semua hospital boleh dikatakan amat memerlukan kerusi roda.

"Mereka ada doktor, tetapi peralatan kurang. Ada yang rosak dan terbiar sebab tidak ada alat ganti untuk dibaiki," katanya di sini.

Sehubungan itu, terdapat kes di mana mangsa hanya diberi rawatan asas sahaja walaupun kecederaan yang dialami serius dan memerlukan rawatan lebih rapi.

Kebanyakan mangsa kata Azlan, mengalami kecacatan kekal seperti putus kaki dan tangan yang memerlukan alat bantuan khusus terutama kerusi roda yang sukar diperoleh di Gaza.

Katanya, keadaan menjadi bertambah sukar kepada penduduk Gaza apabila Mesir menutup pintu sempadan ke satu tempoh yang tidak diketahui.

Ekoran penutupan itu, barangan bantuan terutama peralatan perubatan tidak dibenarkan ke Gaza dan situasi ini menyebabkan hospital- hospital di wilayah itu terpaksa beroperasi dalam keadaan serba kekurangan.

No comments: