Saturday, November 8, 2008

Nabi Adam A.S

Surah al-Hijr

Ayat 28- Dan (ingatkanlah peristiwa) tatkala Tuhanmu berfirman kepada Malaikat, “ Sesungguhnya Aku hendak menciptakan manusia (Adam) dari tanah liat yang kering, yang berasal dari tanah kental yang berubah warna dan baunya.”

Ayat 29- “Kemudian apabila Aku sempurnakan kejadiannya, serta aku tiupkan roh dari (ciptaan)Ku, maka hendaklah kamu sujud kepadanya.”

Ayat 30- (Setelah selesai kejadian Adam) maka sujudlah sekelian Malaikat, semuanya sekali.

Ayat 31- Melainkan Iblis, ia enggan turut bersama mereka yang sujud.

Ayat 32- Allah berfirman, “Hai Iblis! Apa sebabnya engkau tidak turut bersama mereka yang sujud itu?”

Ayat 33- Iblis menjawab, “ Aku tidak patut sujud kepada manusia yang Engkau jadikan dia dari tanah liat yang kering, yang berasal dari tanah kental yang berubah warna dan baunya.”

Ayat 34- Allah berfirman, “Kalau demikian, keluarlah engkau daripadanya, kerana sesungguhnya engkau dari sekarang ke masa depan adalah (satu makhluk yang) diusir.”

Ayat 35- “Dan sesungguhnya engkau ditimpa laknat terus-menerus hingga ke hari kiamat.”

Ayat 36- Iblis berkata, “Wahai Tuhanku! Jika demikian berilah tempoh kepadaku hingga ke hari mereka dibangkitkan (hari kiamat).”

Ayat 37- Allah berfirman, “Dengan permohonan itu, maka sesungguhnya engkau dari golongan yang diberi tempoh.”

Ayat 38- “Hingga ke hari masa yang termaklum.”

Ayat 39- Iblis berkata, “Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya.”

Ayat 40- “Kecuali di antara zuriat-zuriat Adam itu hamba-hambaMu yang dibersihkan dari sebarang syirik.”

Ayat 41- Allah berfirman, “ Inilah satu jalan yang lurus, yang tetap Aku memeliharanya.”

Ayat 42- “Sesungguhnya hamba-hamba-Ku, tidaklah ada bagimu sebarang kuasa untuk menyesatkan mereka, kecuali sesiapa yang menurutmu dari orang-orang yang sesat (dengan pilihannya sendiri).”

Ayat 43- “Dan sesungguhnya Neraka Jahannam itu, tempat yang dijanjikan bagi sekalian mereka (yang menurutmu).”

Ayat 44- “Ia mempunyai tujuh pintu; bagi tiap-tiap sebuah pintu ada bahagian yang tertentu dari mereka (yang sesat dan menyesatkan itu).”

Ayat 45-Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa adalah ditempatkan di dalam beberapa tama n Syurga, dengan mata air-mata air terpancar padanya.

Ayat 46- (Mereka dipersilakan oleh Malaikat dengan berkata), “Masuklah kamu ke dalamnya dengan selamat sejahtera serta beroleh aman.”

Ayat 47- Dan Kami cabut akan apa yang ada di hati mereka dari perasaan hasad dengki sehingga mereka bersaudara (dalam suasana kasih mesra), serta mereka duduk berhadap-hadapan di atas pelamin masing-masing.

Ayat 48- Mereka tidak akan disentuh susah payah dalam Syurga itu, dan mereka pula tidak sekali-kali akan dikeluarkan daripadanya.

Ayat 49-Khabarkanlah kepada hamba-hamba-Ku (wahai Muhammad), bahawa Aku-lah Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani (bagi mereka yang bertaubat dan beramal soleh.

Ayat 50- Dan bahawa azab-Ku, ialah azab yang tidak terperi sakitnya, (bagi mereka yang tetap dalam kederhakaannya).

No comments: