Sunday, October 12, 2008

Andai kota itu peradaban, rumah utamanya adalah budaya, tiang serinya hendaklah agama.

(Petikan dari novel Tuhan Manusia)

Saturday, October 11, 2008

Ambil Berkat Makanan

Nabi Muhammad pernah berkata yang bermaksud,

" Apabila seseorang telah makan, maka hendaklah dia menjilat jarinya (yang ada kesan makanan) kerana dia tidak tahu di mana letaknya makanan yang berkat."

(Direkod oleh At-Tirmizi)

Friday, October 10, 2008

Harta yang Manis dan Indah

Rasulullah pernah berkata yang maksudnya'

" Sesunnguhnya harta itu indah, menarik lagi manis sekali. Tetapi sebaik-baik harta seorang muslim ialah yang diberikan sebahagiannya kepada orang miskin, anak yatim dan orang yang berjihad di jalan Allah."

(Direkod oleh Bukhari dan Muslim)

Thursday, October 9, 2008

Ilmuwan Islam syor guna Saat Makkah ganti GMT

MAKKAH: Saintis dan ulama Islam mendesak waktu Makkah diguna pakai untuk menggantikan waktu antarabangsa 'Greenwich Meridian Time' atau dipanggil GMT kerana bandar raya suci umat Islam berkenaan terletak di lokasi sebenar pusat bumi.

Umat Islam akan menghadap kiblat di Makkah setiap kali menunaikan solat.

Perbadanan Penyiaran Britain (BBC) melaporkan, desakan itu disuarakan pada persidangan yang diadakan di Qatar dengan tajuk 'Makkah Pusat Bumi: Teori dan Amalan.'

Seorang pakar geologi juga berkata, tidak seperti garis bujur lain, Makkah berada dalam kedudukan jajaran sempurna kepada medan magnet hemisfera utara. Pakar itu berkata, orang Inggeris melaksanakan penggunaan GMT ke seluruh dunia secara paksa ketika Britain menjadi kuasa penjajahan. Oleh itu, katanya, sudah tiba masa perkara itu diubah.

Greenwich adalah sebuah bandar di Britain dan GMT digunakan sejak 1884. Waktu GMT untuk semua zon masa di dunia diukur berdasarkan Garisan Meridian Greenwich di Pusat Pemerhatian Diraja Greenwich.

Sarjana Islam terkemuka, Dr Sheikh Yusuf al-Qaradawi, yang turut menyertai persidangan berkenaan menekankan, sains moden akhirnya membuktikan Makkah adalah pusat Bumi.

"Bukti Makkah adalah pusat bumi sebenar adalah kiblat - perkataan Arab bermaksud arah umat Islam apabila menunaikan solat," katanya.

Persidangan itu turut menilai semula apa yang digambarkan sebagai jam Makkah - Saat Makkah - ciptaan seorang penduduk Islam Perancis, Yasin a-Shouk. Jam itu dikatakan berputar arah lawan pusingan jam dan sepatutnya membantu umat Islam menentukan arah Makkah dari mana-mana tempat di bumi.

Persidangan di Qatar adalah sebahagian aliran popular di kalangan masyarakat Islam yang mahu mengumpul bukti bahawa sains moden menggunakan asas bukti daripada al-Quran.

Amalan itu digelar 'Ijaz al-Quran', yang secara kasar diterjemahkan sebagai 'mukjizat al-Quran.'

Kepercayaan yang digariskan ialah kebenaran saintifik juga didedahkan dalam al-Quran, dan sudah menjadi tugas sarjana Islam untuk mendalaminya dan memperkenalkan buktinya.


Isteri Yasin yang menjadi penyelia sidang, berkata: "Negara Barat memaksa kita menggunakan garis Greenwich yang tidak dapat dilihat sebagai rujukan masa dunia."

Beliau berharap, negara Islam dapat menyertai projek menggunakan waktu Makkah bagi memperkuat keyakinan bahawa Tanah Suci itu adalah pusat bumi, bukan secara teori tetapi praktikal.

Seorang cendekiawan Islam, Zaghloul al-Najjar, berkata negara Barat tidak suka melihat bukti saintifik menunjukkan Makkah berada di pusat bumi tetapi beliau dan tokoh Muslim lain akan meneruskan usaha supaya masyarakat antarabangsa menerima kebenaran itu. - Agensi

Wednesday, October 8, 2008

Seketika Bersama Al-Quran : Rezeki diagihkan Allah taala secara berperingkat

Ayat 27 surah As-Syura Allah berfirman, mafhumnya : " kalaulah Allah taala membuka luas rezeki kepada hamba-hambanya nescaya mereka akan sombong di atas muka bumi, akan tetapi Allah taala menurunkannya dengan kadar-kadar tertentu mengikut kehendaknya, kerana Dia amat mengetahui dan celik terhadap keperluan hamba-hambanya".

Iktibarnya :

1. Maksud sepotong Hadis, terkadang Allah taala memberi kepada seseorang itu pada satu hari dengan rezeki untuk 10 hari. maka hendaklah dia hemat dan merancang rezeki tersebut.

2. Manusia akan berubah tabiat dan jiwa bila sudah kelabu mata dengan wang ringgit.

3. Allah Taala sangat mengetahui dengan keperluan hambanya, maka agihannya mengikut keperluan mereka.

Tuesday, October 7, 2008

Seketika Bersama Al-Quran : Pintu Rahmat dan Magfirah Allah sentiasa terbuka

Ayat 53-54 Surah Az-Zumar memaparkan seruan Allah Taala melalui Rasulnya agar berpesan kepada hamba-hambanya yang meletak diri mereka dalam kemaksiatan agar jangan berputus asa dengan Rahmat Allah, sesungguhnya Allah taala sanggup mengampun seluruh dosa-dosa mereka, Sesungguhnya Allah Taala maha Pengampun lagi maha Penyayang.

Kembalilah kepada tuhan kamu dan serahlah diri padanya dengan penuh ketaatan sebelum didatangkan azab yang tiada penyelamat lagi ketika itu.

Begitulah mafhumnya dua ayat yang dimaksudkan di atas, yang datang setelah Allah Taala mengambarkan keadaan golongan yang menzalimi diri sendiri bila berbuat maksiat hilang harapan untuk bertaubat, sehingga sanggup menggadaikan apa sahaja untuk menebus kesilapan lalu bila mereka melihat azab yang begitu keras.

Iktibarnya :

1. Yakinilah bahawa Allah taala maha pengampun dan sangat luas rahmatnya, tiada dosa yang tidak boleh diampunkan kecuali syirik yang dibawa mati.

2. Ketahuilah bahawa Allah taala sangat penyayang terhadap hamba-hambanya, walaupun kepada golongan yang sering melanggar perintahnya dan larangannya, buktinya Allah taala masih menyeru golongan ini dengan "wahai hamba-hambaku" di dalam ayat di atas.

3. Luasnya rahmat Allah itu bila datang tepat pada waktunya, iaitu kita diingati dengan ayat ini ketika ramadan masih berbaki, bulan yang pengampunan digandakan, pintu syurga dibuka seluas-luasnya, semoga kesempatan ini tidak disia-siakan.

4. Dosa-dosa kecil ibarat benang labah-labah, mudah dihapuskan dengan istigfar, wuduk, zikir dan lain-lain, namun jika dibiarkan lama-lama benang labah-labah boleh menjadi tali kapal, ketika itu dipotong dengan parang pun memakan masa dan tenaga, oleh itu segerakan beristigfar.

Salam lailatul Qadr ... kesempatan yang tidak berulang utk thn ini.

Monday, October 6, 2008

Seketika Bersama Al-Quran : Teknik Mencari Kebenaran dalam kekeliruan

Sekali lagi Surah Saba' : 46, memperlihatkan kepada kita bagaimana Allah Taala memberi saranan kepada kita dikala jiwa diruntun kekeliruan, pengaruh luar banyak menyumbang ke arah mengucar kacirkan pegangan yang sedia ada.
Mafhum Ayat tersebut :" katakan (Ya Muhammad : ertinya beritahu Mereka ya Muhammad) Aku nasihatkan kamu hanya dengan cara bersendirian (yang boleh membuatkan kamu hilang kekeliruan) caranya jika kamu benar-benar mencari kebenaran kerana Allah sama ada dengan cara berdua-duaan (yang boleh saling rujuk merujuk) atau bersendirian (berfikir sendiri, tanpa perlu dipengaruhi oleh pandangan orang lain atau dipengaruhi jawatan) kemudian berfikirlah sebaik-baiknya, apakah benar apa yang dibawa oleh Rasulullah itu sesuatu yang tidak masuk akal? ketahuilah bahawa beliau hanya pemberi peringatan pada kamu tentang azab yang sangat keras".
Iktibarnya ;
1. Seruan ke arah menggunakan Akal dan fitrah sendiri dalam membuat sesuatu pertimbangan tanpa bergantung pada pandangan orang lain.
2. Ego seseorang meninggi jika berada di tengah khalayak, malah sering terikut dengan pandagan orang ramai, tanpa sempat merujuk kebenarannya.
3. Ramai Imam-imam dan salafus soleh yang beruzlah dan bermuhasabah setelah sekian lama menghabiskan masa mereka dalam khilafiah hukum fiqh.
4. Sebuah kitab yang sangat cantik karangan Imam Ibnu Qayyim Al Jauzi memperingati alim-ulama agar berhati-hati dalam mengeluarkan pandangan dan fatwa mereka, kitab itu berjudul : "Memberi tahu golongan yang berani menandatangani dengan Tuhan sekelian alam (bahwa fatwa mereka adalah seperti yang dikehendaki oleh Allah swt). Kitab ini sering mengajak ulama bermuhasabah dahulu sebelum mengeluarkan sesuatu pandangan.